Blogger Template by Blogcrowds.


Lapan tahun yang lalu, saya bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Johor. Ia merupakan syarikat yang kecil namun banyak projek yang perlu dihabiskan. Saya dengan Kamal kena menghadiri satu meeting di Kertih, Terengganu. Jadi saya menempah empat bilik bujang di hotel budget untuk saya, Kamal, dan dua orang VIP yang turut serta dalam meeting tersebut.

Sehari sebelum meeting itu, saya menelefon pihak hotel untuk memastikan tempahan bilik kami masih ada namun saya dapat berita yang tidak gembira. Pihak hotel telah membuat kesilapan dimana mereka hanya menyediakan dua bilik bujang untuk kami. Malangnya semua bilik telah penuh.

Setelah membuat aduan kepada pengurus hotel, mereka kata akan menyediakan satu bilik kembar dengan harga yang sama seperti bilik bujang.

Oleh kerana tiada pilihan, saya bersetuju untuk berkongsi dengan Kamal di bilik kembar itu. Dua bilik bujang itu diberikan kepada dua orang VIP.

Pada keesokan harinya. Kami menghadiri meeting tersebut sehingga selesai dan pulang ke hotel. Kami pulang dalam pukul 1 pagi. Bilik saya berada di tingkat atas sekali iaitu tingkat 13.

Bila saya dan Kamal masuk ke bilik, kami merasakan ada satu perasaan yang tidak menyenangkan. Bilik itu kelihatan lama tidak digunakan. Langsir kelihatan lusuh dan dinding kelihatan ada tompok-tompok hitam.

Oleh kerana terlalu penat, kami biarkan saja dan mahu masuk tidur. Namun bila saya masuk ke tandas, terdapat bau yang kurang menyenangkan. Tab mandi penuh dengan kotoran dan berkulat. Saya berputus asa untuk mandi dan terus baring ke katil untuk tidur. Mungkin esok sahaja saya mengadu kepada pihak hotel. Katil saya berhadapan dengan tandas manakala katil Kamal berhadapan dengan cermin tingkap.

Setelah beberapa jam saya tidur, tiba-tiba saya terjaga. Dalam keadaan gelap, saya cuba untuk melihat di sekeliling. Saya dapati pintu tandas telah terbuka. Saya hairan sebab sebelum ni saya tutup pintu itu untuk menghalang bau busuk.

Saya memandang ke lantai dan mendapati ada sesuatu benda yang bergerak. Benda itu mencakar karpet di lantai. Oleh kerana gelap, saya fikirkan mungkin itu tikus. Bila mata saya mula dapat melihat sedikit cahaya, saya terkejut dengan apa yang saya lihat. Ia adalah kepala perempuan yang berambut panjang. Matanya merah dan memandang ke arah saya.

Badan saya seperti tidak boleh bergerak. Saya fikir saya dalam keadaan 'sleep paralyzed' sebab terlalu penat. Namun kepala perempuan itu sedikit demi sedikit datang ke arah saya, Mulutnya ternganga dan lidahnya berjelir panjang. Matanya memandang terus mata saya.

Oleh kerana tidak tahan, saya terus bangun dan menjerit. Saya buka lampu dan kepala perempuan itu terus hilang. Saya berpeluh-peluh dan kaku.

"Kamal, kau nampak tak kepala tadi?" bisik saya sambil kejutkan Kamal di katilnya.

Kamal kelihatan seperti sudah lama bangun dan mukanya begitu pucat sekali.

"Aku pun nampak tadi. Tapi aku nampak kepala dia kat luar tingkap. Dia pandang tepat ke arahku." kata Kamal.

Kami pun kemas barang-barang kami dan terus mengadu ke pihak hotel. Mereka meminta maaf kepada kami dan menyangka perkara itu tidak akan berlaku. Kami hairan apa yang sedang berlaku.

Mereka mengatakan bahawa 4 tahun yang lalu terdapat seorang gadis bunuh diri di bilik itu. Gadis itu membunuh diri dengan menjerut lehernya sambil terjun ke luar tingkap.

Malangnya semasa dia terjun, kepalanya tercabut dan tertinggal di dalam bilik itu. Badannya hancur kerana jatuh di tempat tinggi.

Ramai mengatakan mereka sering ternampak kepala gadis berterbangan di tingkap bilik itu seperti mencari-cari badannya.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home