Blogger Template by Blogcrowds.


Amin menolak-nolak kereta permainannya di atas lantai ruang tamu. Begitu girang sekali dia bermain sambil diselang-selikan dengan gelak tawa. Ibunya, Hanis yang sedang masak hanya memerhatikan gelagat anaknya itu dari sudut dapur. Dia memandang sambil tersenyum. Amin terus bermain, habis dipunggahnya permainan-permainan yang terletak di rak almari khas dan diletakkan semuanya di lantai.

"Kakak suka tak mainan kereta ni, semalam Ayah Amin baru belikan tau untuk Amin" Kata Amin sambil menolak-nolak kereta permainan itu. Hanis yang sedang memotong sayur di meja terhenti mendengar suara anaknya. Dia terus menjengukkan kepalanya sedikit ke ruang tamu untuk melihat Amin.

"Amin. Amin cakap dengan siapa tu?" Hanis menegur Amin yang tengah asyik bermain. Hanis hairan kerana rasanya hanya dia berdua sahaja di dalam rumah ketika itu.

"Amin cakap dengan kakak tu, dia datang nak main sama-sama dengan Amin. Tu nampak dia tengah duduk dekat tepi almari. Kakak kenapa duduk jauh-jauh, mari la sini main kereta ni dengan Amin" Balas Amin.

Hanis tersentak mendengar kata-kata anaknya itu. Dia bangun lalu terus ke ruang tamu dan memandang ke sekeliling dalam rumahnya. Risau dia kalau-kalau memang ada orang yang sedang cuba menceroboh masuk. Sudahlah hanya dia berdua sahaja di rumah ketika itu. Suaminya sudah pergi ke tempat kerja. Hanis terus memandang Amin yang tengah seronok bermain dengan permainan kereta barunya. Dari riak muka Amin memang tak nampak langsung kecurigaan.

"Amin bercakap dengan siapa tadi, Mama tak nampak sesiapa pun dalam rumah ni lagi selain Amin seorang, Amin jangan main-mainkan Mama" Hanis bertanya kepada anaknya itu sambil memberikan reaksi muka bimbang.

"Tu, Amin tengah cakap dengan kakak tu. Mama tak nampak ke? Dia memang dah lama duduk dekat situ. Amin ajak dia main tapi dia duduk diam je tak nak datang sini" Kata Amin sambil menunjuk ke arah tepi almari berkaca di sudut ruang tamu yang menyimpan barang-barang perhiasan. Hanis makin hairan dan bingung. Dalam masa yang sama dia berasa tidak sedap hati.

"Macam mana rupa kakak tu Amin?" Hanis memberanikan diri menanyakan soalan itu kepada anaknya.

"Ala, mama tak nampak ke dia duduk situ? Rambutnya panjang sangat. Kakak tu cantik tau. Tadi Amin nampak kakak ni merangkak keluar dari bilik mama" Kata Amin menjelaskan sambil terus bermain.

Berderau terus darah Hanis mendengar kata- kata anaknya. Kakinya seakan lemah longlai. Dia memandang ke arah tepi almari. Tetapi memang tiada penampakkan apa-apa sosok di situ. Hanis terus terduduk diam di atas sofa. Matanya merenung memandang ke arah anaknya itu. Sebenarnya dia kebingungan. Baginya agak payah untuk seorang anak kecil berumur 5 tahun mengatakan sesuatu yang dusta. Tak kan lah anaknya itu mahu bercakap bohong atas sesuatu yang mereka sendiri benar-benar nampak. Hanis diburu ketakutan.

Hari beransur petang. Dua beranak itu mengambil angin luar sambil sama-sama menunggu insan tersayang pulang ke rumah. Hanis kelihatan sedang menyiram pokok-pokok bunga manakala Amin sedang bermain dengan basikalnya. Hanis sebenarnya masih runsing memikirkan kejadian pagi tadi. Sesekali diperhatikan anaknya itu yang lincah bermain di halaman rumah. Tidak cukup dengan mengayuh basikal, dimainnya pula bola di atas rumput. Bola disepak-sepak sehingga terkena pokok rimbun di hadapan halaman rumah. Amin ketawa girang.

Hari makin senja. Lambat pula hari ni suaminya pulang, bisik Hanis. Pokok-pokok bunga sudah siap disiram. Hanis duduk sebentar di bangku kayu di halaman rumahnya. Matanya tekun memerhati Amin yang sedang berdiri pegun sambil memandang ke atas pokok.

"Amin buat apa dekat bawah pokok tu, mari sini masuk rumah. Hari dah nak malam". Hanis memanggil anaknya. Namun Amin masih berdiri di bawah pokok rimbun itu sambil memandang ke arah atas. Kelihatan mulutnya sedang terkumat kamit seperti sedang bercakap seseorang. Hanis makin tidak sedap hati. Hanis bangun dan memanggil Amin sekali lagi.

"Kejaplah Mama. Kakak tadi tu ada dekat atas pokok ni, dia senyum kat Amin" Kata-Kata Amin itu terus membuatkan darah Hanis berderau. Hanis berganjak ke hadapan sedikit dan meluru ke arah Amin. Terus dicapai tangan kecil anaknya itu dan mendukungnya menuju ke dalam rumah. Kebetulan pada ketika itu suaminya, Azman pulang. Dalam dukungan, Amin sempat berkata bahawa 'kakak' yang dilihatnya sebentar tadi telah terbang ke ruang langit. Cepat-cepat Hanis membawa Amin dan menyuruh suaminya masuk ke dalam rumah.

"Macam mana ni abang, saya syak ada sesuatu lah yang jadi dekat Amin ni" Hanis menuju dan duduk di meja makan.

"Awak pasti ke apa yang dicakapkan Amin tu betul?" Azman menyenduk nasi lalu diletakkan di atas piring. Azman menjawab pertanyaan Hanis bagai acuh tak acuh.

"Abang, dua kali tau hari ni Amin beritahu saya yang dia nampak 'kakak' tu. Abang cuba fikir, takkanlah budak kecil macam dia nak bercakap bohong dan bercakap bukan-bukan begitu? Cuba lah bagi perhatian sikit"

"Melainkan dia memang benar-benar nampak benda tu" Azman menjawab ringkas seperti turut bersetuju dengan Hanis

"Ha kan. Jadi macam mana sekarang? Sebelum keadaan jadi lebih teruk saya rasa eloklah kita bawa Amin pergi berubat"

"Kita bawa dia pergi berubat dekat Ustaz Syed" Azman melontarkan penyelesaian

.......................................................

Azman menutup suis televisyennya. Matanya sudah mulai mengantuk. Hanis kelihatan sedang membasuh pinggan-mangkuk di dapur. Tidak semena-mena terdengar suara Amin menjerit dari bilik atas. Lalu bergegaslah Hanis dan Azman menaiki tangga menuju ke bilik Amin. Pintu bilik di buka, Amin sedang duduk menangis di atas katil.

"Amin, kenapa ni??" Tanya Azman sambil menenangkan Amin

"Tu!" Amin menunjuk ke arah atas almari bajunya. Hanis dan Azman serentak memandang ke atas almari. Namun tiada apa-apa di atasnya. Hanis bertanyakan kepada Amin apa yang dinampaknya di atas almari tesebut

"Tu. dekat atas tu ada perempuan tua rambut putih. Tadi masa dia masuk bilik Amin muka dia cantik. Tapi sekarang muka dia dah jadi buruk!" Amin teresak-esak. Azman dan Hanis cepat-cepat mendukung Amin turun ke bawah.

Kunci kereta dicapai. Kereta pantas dipandu keluar dari halaman rumah. Mereka tiga beranak menuju ke rumah Ustaz Syed. Hanis dan Azman kelihatan resah melihat keadaan anaknya itu. Kereta meluru laju di atas jalan raya yang basah akibat hujan gerimis sebentar tadi. Hanis memangku anaknya di kerusi hadapan sambil menenangkannya. Amin terdiam. Mungkin sedang terkejut. Azman bingung memikirkan kejadian yang menimpa anaknya itu. Bermacam-macam persoalan berlegar-legar di ruang kepala. Antaranya sejak dari bila Amin boleh melihat makhluk-makhluk alam ghaib tersebut.

Rumah Ustaz Syed terletak agak jauh daripada rumah Hanis dan Azman. lebih kurang 40 kilometer jauhnya. Mereka tiada pilihan lain sebelum masalah ini menjadi lebih serius. Amin kelihatan terduduk diam di pangkuan Hanis. Ekor matanya sesekali memandang ke kiri dan ke kanan. Azman sedang fokus memandu, mukanya kelihatan serius.

"Papa, kenapa orang tu dekat luar? Dia dekat sebelah cermin Papa" Amin memecah kesunyian. Azman yang tadinya fokus kini hampir hilang kawalan. Dia menoleh ke kanan dan terpandang 'benda yang elok berbungkus putih dari tubuh hingga ke kepala sedang melompat-lompat di tepi pintu keretanya. Azman mengucap panjang, dia hampir-hampir terbabas ke bahu jalan. Dia menyesal kerana menoleh ke kanan. Ketika itu Hanis juga nampak kerana Azman terdengar Hanis menjerit ketika dia sama-sama menoleh ke kanan.

"Abang, walau apapun yang tejadi sekarang ni, saya nak kita kawal emosi dan semangat. Fikirkan keselamatan kita bertiga. Banyak-banyakkan baca ayat-ayat suci, ini sahaja yang dapat membantu kita" Hanis teresak-esak. Azman yang dalam keresahan kembali fokus memandu.

"Amin. Kalau nampak apa-apa lagi cukuplah Amin seorang sahaja yang tahu dan nampak. Mama dan Papa tak sekuat Amin. Mama dengan Papa nak sembuhkan Amin ni. Mama tak nak Amin selamanya macam ni" Kata-kata hanis membuatkan Amin terdiam. Azman yang sedang memandu kelihatan agak cemas kerana dia sememangnya dapat merasakan lagi kehadiran 'benda' putih itu melompat-lompat di sebelah kanannya. Azman tidak putus-putus membaca surah Kursi. Dia menahan dirinya daripada tertoleh ke kanan. Jika tidak, nahas menanti.

Destinasi yang dituju masih lagi berbaki 20 kilometer. Keadaan kembali tenang, Hanis termenung jauh ke luar sambil memangku Amin yang sudah tidur. Tiba-tiba "Bammm!!". Azman terkejut dan sekali lagi hampir membelok stereng keretanya ke kiri. Bunyi itu datang dari atas bumbung keretanya. Bukan sekali tetapi berkali-kali ia berbunyi. "bamm! bamm! bammm!!" Hanis dan Azman makin berdebar-debar, bagai ada benda sedang berjalan menghentak-hentak kaki di atas bumbung kereta mereka ketika itu.

Bunyi itu ada kalanya senyap seketika kemudian berbunyi lagi dan berterusan. Azman seperti hilang fokus, mahu sahaja dia memberhentikan keretanya untuk memeriksa apa yang ada di atas bumbungnya. Tetapi itu bagaikan tidak masuk akal, buatnya yang di atas itu benda yang dia tidak ingin lihat, makin haru lagi nanti. Hanis menenangkan Amin dan menyuruh dia tidur kembali. Kereta mereka memasuki satu selekoh, jalan di situ agak gelap sedikit kerana hanya terdapat beberapa batang tiang lampu sahaja. Manakala di kiri kanan mereka tumbuh lalang dan semak samun yang terbiar. Cahaya dari lampu kereta menyuluh terang ke hadapan jalan.

"Sayang. Abang nak sayang tenang dan jangan pandang ke belakang tau lepas apa yang abang cakapkan ni" Azman berkata perlahan

"Apa dia abang??" Kata-kata Azman menambah gusar di hati Hanis

"Ada 'benda' dah mengikut kita sejak dari lepas selekoh tadi" Hanis terus ketakutan, mengucap panjang dia apabila suaminya berkata begitu. Hanis terdiam dan merangkul Amin kuat.

Azman sudah rasa tidak sedap hati di sepanjang perjalanan itu. Sesekali matanya melirik ke cermin sisi. 'Benda' itu tetap melayang mengekori dari belakang kereta. Rambutnya panjang melepasi kaki. Hanis berasa aneh kerana Amin terus senyap. Dia memandang ke bawah untuk memeriksa Amin di pangkuannya. Keadaan di dalam kereta sangat gelap, Hanis cuba meraba-raba kepala Amin. Namun dia berasa hairan kerana apa yang dia rasa seperti meraba benda sejuk dan keras. Hanis memandang pangkuannya dan kebetulan kereta mereka melalui bawah tiang lampu jalan.

"Abanggg!! Mana Amin abangg! Ini bukan anak kitaa!!" Hanis melolong ketakutan sambil menangis. Azman beristighfar panjang apabila melihat batu nisan di pangkuan Hanis. Amin sudah hilang. Dia 'ditukar' dengan batu nisan buruk. Hanis seperti sudah mahu pengsan. Azman terus memberhentikan kereta di bahu jalan. Dipanggil-panggil nama Amin berulang kali. Azman bagai hilang akal. Dia mundar- mandir di tepi jalan lama itu. Tiba-tiba ada satu kelibat melintas laju di belakangnya. Azman menoleh ke belakang. Kemudian terdengar ada satu suara yang menakutkan dari atas pohon rendang. Azman dan Hanis tergamam. Perempuan berambut panjang berdiri di sebalik dahan-dahan pohon.

"Azmannn!! Ini anakk akuu!! Kau manusia yang memang tak bertangunggjawab atas perbuatan kau!! Sebagai balasan aku mahu hak ke atas aku, jadi aku akan ambil anak aku ini dari kauu!!" Mulutnya terbuka luas, matanya terbeliak tajam memandang Azman. Amin kini dalam dukungan perempuan di atas pokok itu. Azman terkejut. Dia terkejut kerana roh bekas isterinya kini muncul semula dalam keadaan yang mengerikan.

"Demi Tuhan Ya Allah aku sudah bertaubat atas perbuatanku, pulangkan anak aku dan baliklah ketempat asal kau wahai syaitan! Sesungguhnya kau ni hanyalah jelamaan bekas isteriku" Azman berganjak sedikit ke hadapan

"Tidak semudah itu, perbuatan kau amat melampau sehingga membuatku terbunuh! Aku memang sudah lama berdendam dengan kau wahai manusia!" Perempuan itu melepaskan Amin dan terbang meluru ke arah Azman. Angin bertiup kencang ketika itu, jasad Azman disentap dan ditarik ke atas oleh roh berambut panjang itu, kedengaran suara mengilai perempuan itu dan diselang seli dengan suara Azman menjerit. Kedua-duanya kelihatan berpusar di ruang langit, angin kencang kelihatan agak buas. Mereka kemudian hilang ditelan langit hitam. Hanis terduduk menangis seakan tidak percaya apa yang berlaku di hadapan matanya itu.

..............................................................

4 tahun lepas, seorang wanita telah dibunuh oleh suaminya sendiri akibat tekanan perasaan dan cemburu. Kejadian ini terjadi apabila si wanita cantik ini dikatakan telah menjadi mangsa fitnah sehingga membuatkan si suami bertindak melulu dengan membunuh isterinya. Fikir dahulu sebelum bertindak. Syaitan sentiasa sedaya upaya menghasut dan menysesatkan manusia sehinggan hari Kiamat.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home