Blogger Template by Blogcrowds.


Kisah seram kali ni merupakan pengalaman seram sebenar yang kenalan admin kongsikan kepada admin. Dia merupakan seorang petugas bahagian pengurusan mayat di salah sebuah hospital yg terletak di Lembah Klang. Nama beliau dan nama hospital terpaksa di rahsiakan atas hal-hal keselamatan. Kisah ini terjadi beberapa tahun yang lepas dan ia bermula begini..

Sebagai seorang perempuan dan bertugas di bahagian pengurusan mayat, Amira (Bukan nama sebenar) sering mendapat pertanyaan dan soalan-soalan tipikal dalam kalangan rakan-rakannya. Dia bukanlah tidak takut bekerja di dalam makmal dan bilik yang menguruskan mayat, tetapi bagi dirinya dia sudah biasa dengan keadaan-keadaan sebegitu. Dari kes lemas, kemalangan, sakit tua, sehinggalah ke bunuh diri, sudah puas dia 'menikmati permandangan' keadaan mayat yang bermacam-macam kes nya. Lama kelamaan dia sudah biasa dengan kerjanya itu. Tiada apa yang perlu ditakuti, kerana apa yang berada dihadapannya itu sudah tidak bernyawa lagi.

Namun ada kalanya selera makannya selalu terganggu dek kerana terlalu menghadap sangat keadaaan mayat yang kadang kalanya kondisinya agak mengerikan. Biasanya mayat yang sudah terlalu lama terbiar, bau busuk daripada si mati akan meninggalkan kesan yang mendalam pada mental dan deria bau serta rasa si petugas. Tetapi hal ini hanyalah sementara, dia anggap ini sebagai cabaran atas amanah dan kerja mulianya ini. Namun hari itu dia dan rakan-rakan sejawatnya telah mengalami suatu peristiwa yang amat pelik sepanjang mereka bertugas di bilik mayat tersebut.

Pada hari kejadian Amira dan rakan-rakannya bekerja seperti biasa mengikut rutin jadual. Sebelum membuat beberapa biopsi pada mayat, (biopsi adalah proses pengambilan sampel di tubuh mayat untuk pemeriksaan lanjut) Amira perlu memeriksa setiap mayat di situ secara rambang. Menurut dia, pada waktu itu terdapat 20 mayat kesemuanya. Amira perlu memeriksa satu persatu mayat tersebut dengan mengikut nama, kod nombor dan beberapa butir peribadi seperti di dalam senarai. Kesemua 20 mayat itu diletakkan di dalam peti berhawa dingin bagi mengelakkan ia membusuk.

Amira pun memeriksa mayat tersebut satu persatu, dia membuka pintu 'fridge' dan memeriksanya secara rambang dengan mengikut senarai nama dan butir maklumat yang ada padanya. Satu persatu peti berisi mayat telah Amira periksa. Tetapi kejadian pelik terjadi apabila pintu peti untuk mayat yang ketiga terlalu ketat dan berat untuk di buka.

Biasanya sebelum ini tidak pernah terjadi perkara begini, ke semua peti berfungsi baik. Senarai nama di tangannya menunjukkan mayat yang terdapat di dalam peti itu adalah mayat perempuan melayu, yang mati pada umur 78 tahun. Puas dia dan rakan-rakannya cuba membuka pintu peti mayat tersebut tetapi tidak juga berjaya.

Amira terdiam kehairanan. Oleh sebab tidak mahu memikirkan perkara yang bukan -bukan dan mahu mengejar masa, dia tinggalkan dahulu peti mayat tersebut dan meneruskan memeriksa mayat-mayat yang lain dahulu. Beberapa orang rakannya yang lain turut berada di dalam bilik itu untuk menguruskan kes-kes yang lain. Sedang Amira memeriksa mayat yang ke 18 kejadian aneh telah berlaku lagi. Kali ini Amira dan rakan-rakanya yang lain bertambah kehairanan.

Di dalam peti ke 18, mengikut senarai dan butir maklumat yang tertera, mayat yang sepatutnya berada di dalam itu adalah mayat seorang lelaki cina. Tetapi apa yang ada di dalam peti itu adalah mayat seorang perempuan tua. Ya, mayat perempuan tua itu lah yang sepatutnya berada di dalam peti ke tiga.

Dalam kehairanan Amira meninggalkan sebentar mayat perempuan tua itu dan menyambung terus baki dua mayat yang lain. Mereka yang lain cuba membuka peti ke tiga namun pintu peti itu masih terlalu ketat untuk dibuka. Sebagai ikhtiar, seorang rakan lelaki Amira telah melaungkan Azan dan dengan izin-Nya pintu peti itu akhirnya terus boleh di buka seperti biasa. Setelah diperiksa, ternyata mayat yang berada di dalam dua peti itu, iaitu peti ke tiga dan ke 18 telah tertukar.

Ini bermaksud di dalam peti ketiga, mayat yang sepatutnya berada di dalam itu adalah mayat perempuan tua, manakala di dalam peti ke 18 mayat yang sepatutnya berada di dalam itu adalah mayat lelaki cina. Dua mayat itu kemudiannya dimasukkan semula ke dalam peti yang betul. Suasana di dalam bilik mayat ketika itu menjadi sunyi sepi seketika. Masing-masing kelihatan kehairanan kerana amat jarang kejadian tertukar mayat sebegini berlaku.

Esok harinya, mereka menyambung kembali kerja seperti biasa. Amira dan rakan-rakannya akan melakukan proses seterusnya iaitu proses biopsi ke atas 20 mayat yang telah diperiksa datanya semalam. Satu persatu mayat di keluarkan dari peti dan di letakkan di atas meja bedah. Sambil mengeluarkan mayat dari peti, Amira memeriksa juga kod nombor dan namanya bagi mengelakkan kesilapan berlaku.

Namun, sekali lagi kejadian aneh lagi menyeramkan telah berlaku. Mayat di peti ketiga yang sepatutnya mayat perempuan tua telah 'hilang' dan tertukar lagi. Kali ini mayat itu tertukar dengan mayat remaja lelaki. Bulu roma Amira terus meremang, dia terus berhenti dan terduduk kerana bingung memikirkan apa yang sedang terjadi sebenarnya ketika itu.

Pelbagai kejadian menyeramkan telah berlaku sejak dari itu. Pernah di suatu malam, rakan sekerja Amira yang bekerja di syif malam telah diganggu oleh pintu yang terbuka dan tertutup dengan sendiri. Ada seorang petugas yang lain juga mengalami kejadian menyeramkan. Ketika itu dia sedang berseorangan membuat laporan di dalam makmal, tiba-tiba dia terdengar dari bilik sebelah bunyi kerusi yang ditarik dan bunyi seperti suara perempuan sedang menyanyi.

Dia membiarkan sahaja sebab fikirnya mungkin ada petugas lain yang sama syif dengannya sedang berada di dalam bilik itu. Bunyi itu berlarutan sehingga menimbulkan prasangka. Setelah di periksa rupa-rupanya tiada sesiapa yang berada di bilik itu, lampunya juga dimatikan. Petugas yang sepatutnya selalu berada di dalam bilik itu rupanya sedang 2 hari bercuti di kampung.

Amira dan rakan-rakannya menjadi tidak sedap hati, masing-masing sudah merasa sesuatu. Jabatan bahagian pengurusan mayat telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan hal ini. Petugas-petugas lain di soal sama ada mereka telah melakukan kesilapan ini sehingga mayat di dalam peti boleh tertukar letak. Masing-masing menafikan kerana di dalam jabatan yang penting ini semua kerja perlu mengikut prosedur dan protokol yang ketat. Setiap mayat mempunyai data maklumat diri dan kod nombor jadi tak mungkin kesilapan mudah ini boleh berlaku lagipun 'double check' wajib dilakukan setiap kali mayat sudah di letakkan di dalam peti. Tambahan pula mereka sudah berpengalaman lama dalam bidang ini.

Kejadian pelik itu telah tersebar ke seluruh jabatan di hospital tersebut. Macam-macam spekulasi dan teori-teori yang menyeramkan wujud. Akhirnya Amira dan petugas-petugas di bahagian bilik mayat telah mendapat jawapan di sebalik kejadian misteri itu. Seorang jururawat di hospital yang sama telah mendedahkan cerita sebenar kepada Amira apa yang sebenarnya telah terjadi kepada perempuan tua itu semasa hayatnya. Sebelum ini perempuan tua itu telah di masukkan ke wad kerana mengalami sakit tua tetapi menurut doktor, perempuan tua itu sebenarnya telah mengalami sakit misteri.

Perempuan tua itu tinggal seorang diri, tidak mempunyai waris. Anak-anaknya tidak dapat dikesan. Masyarakat setempat mengatakan anak-anak perempuan tua itu telah lama meninggalkan ibunya itu. Jirannya lah yang menghantarnya ke hospital setelah meilhat perempuan itu pengsan di belakang rumah. Menurut jiran, perempuan itu mengamalkan ilmu-ilmu mistik dan sihir. Jururawat yang menjaganya juga mengatakan benda yang sama. Setiap malam perempuan tua itu akan ketawa, menangis dan menjerit-jerit. Ada masanya perempuan tua itu selalu bercakap seorang diri dengan menggunakan bahasa melayu lama dan kuno.

Menurut kenalan admin ini, sampai sekarang mayat perempuan tua itu berada di hospital tersebut. Tiada siapa yang berani menyentuhnya tambahan pula tiada waris yang datang menuntut.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home