Blogger Template by Blogcrowds.


Dayah memandang pokok-pokok bunga yang tergantung diberanda rumahnya sambil tersenyum. Puas hatinya apabila melihat bunga itu mekar dengan sihat. Dayah memang seorang yang sangat gemarkan tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi. Habis penuh kawasan rumahnya dihiasi bunga-bunga yang cantik dan rumahnya kelihatan indah jika dipandang dari jauh. Ada yang biru, kuning, hijau, merah, ungu dan bermacam-macam aneka warna lagi. Baginya, tumbuh-tumbuhan alam semulajadi ini bagaikan satu terapi jiwa buatnya. Hatinya tenang melihatkan kehijauan kawasan rumahnya itu.

Pada setiap pagi dan petang rutin hariannya tidak ditinggalkan, jika tidak maka layulah bunga-bunga dan pokok-pokok jagaan Dayah itu. Sebelum pergi dan selepas pulang dari kerja, Dayah akan menyiram pokok-pokok bunganya itu. Anak perempuannya yang berumur 7 tahun itu pun sudah diajar menyayangi tumbuhan-tumbuhan. Adakalanya dia turut membantu menyiram dan menanam pokok-pokok bunga di pasu dan kawasan sekitar halaman rumah mereka. Suami Dayah, Faiz tersenyum melihat gelagat dua beranak itu. Faiz tidak mempunyai masalah langsung dengan minat Dayah, lagipun semua itu untuk kecantikan kawasan rumah mereka juga.

Namun berlaku satu kejadian aneh pada suatu petang di mana Dayah sedang menyiram pokok bunga di dalam yang digantung di beranda rumahnya. Pada waktu itu selepas selesai sahaja menyiram pokok bunga di beranda, dia tiba-tiba terdengar bunyi seperti benda bergerak-gerak di atas tanah. Dayah cuba menjenguk ke bawah dari atas beranda, namun tiada apa-apa pula yang terjadi di situ. Semuanya kelihatan tenang. Fikirnya mungkin kucing-kucing jirannya yang sedang bermain-main berkejaran di atas tanah tersebut. Dayah tidak mengambil pusing akan bunyi itu. Dia terus menyambung menyiram pokok-pokok bunga yang lain.

.............................................

"Kerja hari ni ok bang?" Dayah cuba menyapa suaminya yang sedang berehat di ruang tamu.

"Ok je, cuma penat sikitlah sebab hari ni banyak pelajar-pelajar baru masuk." Jawab Faiz yang bekerja sebagai staf pengurusan di sebuah kolej kemahiran di pekan.

"Oh haah kan. Hari ni dah mula semester baru. Abang, nanti sebelum abang masuk tidur, jangan lupa tutup pintu dapur ni ya. Nanti masuk pulak kucing-kucing jiran sebelah tu" Dayah memberi arahan pada suaminya.

"Ok sayang." Balas Faiz ringkas. Matanya tertumpu di televisyen.

Usai Dayah berlalu masuk ke bilik tidur, Faiz terfikir sesuatu tentang apa yang Dayah cakapkan sebentar tadi. Faiz hairan, sejak bila jiran barunya ini membela kucing. Jiran lama sebelum ini memang ada membela kucing tetapi mereka semua sudah berpindah bulan lepas. Setahu Faiz memang tiada kucing yang dibela oleh jiran baru mereka ini.

....................................................

Keesokan harinya, sebelum bertolak ke tempat kerja,seperti biasa Dayah akan mengambil masa beberapa minit untuk menyiram pokok-pokok bunganya. Dayah berasa pelik kerana selepas dia menyiram pokok bunga yang digantung di beranda, bunyi seperti semalam masih kedengaran lagi. Bunyi seperti ada benda bergerak-gerak di atas tanah. Tetapi bila dijenguk tiada apa pula yang ada di atas tanah itu. Dayah turun dan berjalan ke halaman rumahnya untuk memeriksa. Dayah memerhati kawasan tanah itu, yang kelihatan hanyalah kesan tanah-tanah yang basah akibat air siraman daripada pokok bunga di atas beranda itu jatuh ke bawah. Selain daripada itu memang tidak kelihatan satu apa pun. Mungkin ayam? Mungkin kucing? Bisiknya di dalam hati.

Kejadian sama turut berulang lagi ketika waktu petang Dayah menyiram bunga. Bunyi itu kedengaran lagi. Bunyi seperti ada sesuatu sedang bergerak dan berjalan laju di atas tanah. Yang menghairannya ialah, bunyi itu akan kedengaran selepas dia selesai menyiram pokok bunga di dalam pasu yang digantung di beranda. Jika dia menyiram pokok-pokok bunga yang lain tidak kedengaran pula bunyi seperti itu. Dayah semakin kehairanan. Dia memanggil suaminya untuk memastikan bunyi apakah itu. Faiz menjenguk dan menyuluh ke bawah rumah, namun tiada apa-apa binatang atau apa-apa pun yang boleh menghasilkan bunyi seakan-akan benda berlari dan berjalan di kawasan itu.

"Entah-entah ayam kot, takpun biawak yang nak cari makanan dekat bawah rumah kita ni" Faiz cuba memberi jawapan kepada persoalan dari mana datangnya bunyi itu.

"Ish abang ni, saya dah periksa memang tak ada pun binatang-binatang yang abang sebut tu semua. Yang hairannya setiap kali saya siram pokok bunga dalam pasu tergantung dekat beranda ni mesti benda tu akan berbunyi punya." Jelas Dayah kepada Faiz

"Cuba awak siram pokok-pokok dalam pasu atas beranda tu saya nak tengok bunyi ke tidak." kata Faiz tiba-tiba mendapat idea. Dayah mula mengambil bekas penyiram bunga dan menyiram pokok-pokok bunga yang digantung itu.

"Ha, tak ada dengar bunyi apa-apa pun? Bunyi air jatuh ke tanah ni ada la" Kata Faiz setelah mendengar dengan teliti.

Malam itu semasa menemankan anak perempuannya membuat kerja sekolah, Dayah asyik terfikirkan tentang bunyi misteri tersebut. Dayah memang syak bunyi itu bukan berpunca daripada kucing, ayam, biawak ataupun haiwan-haiwan lain. Bunyi itu seperti datangnya daripada suatu fizikal yang besar seperti manusia, dan seperti benda itu sedang merangkak laju. Meremang pula bulu roma Dayah malam itu bila dia terfikirkan bunyi itu ganjil tersebut. Dia sudah mulai berfikir yang bukan-bukan dan terlalu jauh menyimpang. Tiba-tiba ada suatu perkara yang terdetik di hati Dayah ketika itu. Dua benda ini tiba-tiba bermain di fikiran Dayah, iaitu 'air terjatuh' dan 'bawah rumah'.

Bimbang keselamatan dan keharmonian keluarganya terganggu, keesokan harinya dengan bertemankan Faiz, Dayah berjumpa dengan imam surau kampung iaitu Ustaz Khairi.

"Jadi awak katakan tadi bahawa rumah kamu berdua ni dahulu pernah di duduki oleh Pak Hamid ya?" Ustaz Khairi bertanya kepada Faiz dan Dayah

"Ye Ustaz, arwah Pak Hamid tu datuk saudara saya" angguk Faiz. Ustaz Khairi pula menggeleng-geleng kepala tanda respon yang agak kurang baik.

"Macam ni lah, malam ni lepas Isya' ustaz akan datang ke rumah kamu. Ustaz janji akan tolong kamu berdua selesaikan masalah ini.Bunyi ini bukan sebarang bunyi" Ustaz Khairi menhabiskan kata-katanya dengan penuh persoalan.

Balik daripada berjumpa Ustaz Khairi, Faiz dan Dayah terdiam membisu di dalam kereta. Jangkaan Dayah tepat bahawa bunyi itu bukan bunyi biasa-biasa, bunyi itu memang sangat ganjil dan meremangkan sesiapa yang mendengarnya. Faiz pula memberitahu Dayah sewaktu sedang menyuluh ke bawah rumah kelmarin dia memang ada ternampak suatu benda yang mencurigakan, iaitu kain berwarna merah yang diikat kemas di tiang rumahnya. Fikirnya kain merah itu tidak bermaksud apa-apa jadi dibiarkan sahaja di situ.

Barang-barang yang ustaz Khairi minta sudah di sediakan oleh Faiz dan Dayah. 5 biji telur ayam kampung, limau kasturi dan air yang sudah dibacakan surah Yassin. Sebelum bermula, Ustaz bersolat dua rakaat dahulu. Ketika itu sudah mulai kedengaran bunyi-bunyi seperti suara mendesir dan meraung-raung dari bawah rumah. Faiz dan Dayah sudah mula berasa berdebar-debar dan ketakutan. Mujur anak perempuannya awal-awal lagi sudah di hantar ke rumah neneknya, jika tidak tentu anaknya itu lebih ketakutan dan trauma daripada mereka.

Selesai Ustaz bersolat sunat dua rakaat, rumah itu tidak semena-mena kelihatan seperti sedang bergegar. Mahu sahaja Faiz dan Dayah keluar dari rumah tersebut tetapi mereka lagi bimbang sekiranya di luar itu lebih merbahaya keadaaannya. Ustaz Khairi sudah mula membaca ayat-ayat suci bagi mengusir syaitan laknatullah itu. Dayah dapat merasakan ada benda seperti sedang merangkak laju di bawah rumahnya, lantai rumah seperti di ketuk-ketuk kuat. Kemudian dia terpandang kelibat lembaga hitam legam sedang mengelilingi rumahnya. Malam itu dia seperti diberi peluang untuk melihat makhluk ghaib, dari celah-celah pokok pisang di belakang rumah dia terpandang lembaga hitam sedang merangkak keluar menuju ke arahnya. Dayah hampir pengsan.

"Faiz, cepat! mari sini. Masanya dah tiba! Kita ke beranda luar. Kamu tolong saya curahkan air yassin yang sudah di campur dengan limau kasturi ini ke bawah." Ustaz Khairi memberi arahan pantas sambil dituruti Faiz.

Air itu kemudiannya dicurah dari atas beranda dan dibiarkan jatuh ke tanah, sementara ustaz Khairi terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Ketika itu terdengar bunyi yang sangat kuat dari bawah rumah. Bunyi syaitan itu berlari dari bawah rumah menuju ke beranda! Dayah hanya mampu mengucap apabila melihat lantai rumahnya dihentak-hentak kuat bagai hendak tercabut. Faiz pula makin berdebar apabila mendengar bunyi itu semakin lama semakin dekat padanya. Semakin lama semakin kuat ke beranda. Dia terus mencurah air bacaan yassin itu ke bawah sambil tangannya terketar-ketar. Bunyi hentakan itu sudah betul-betul di bawah mereka berdua sekarang ini! dan..

Faiz mengucap panjang, jantungnya bagai hendak terjatuh, Ustaz pula seakan-akan terhenti bacaannya. Wajah yang sangat hodoh dengan fizikal badan yang besar, perlahan-lahan merangkak keluar menunjukkan rupa sebenarnya. Tangannya lebih panjang daripada kaki, wajahnya herot berot dengan mulut yang ternganga luas, matanya pula merah menyala. Rupanya selama ini syaitan ini yang menunggu air daripada air siraman bunga yang jatuh dari atas beranda ini. Faiz yang ketakutan terus menuangkan air yassin itu ke makhluk tersebut, ustaz terus menghabiskan bacaannya. Syaitan itu meraung-raung kepanasan, badannya menggelupur menahan sakit, kepalanya dihentak-hentak ke tanah, dengan izin Tuhan badan makhluk yang mengerikan itu terbakar kepanasan meninggalkan kesan hitam di rumput dan tanah. Ustaz Khairi, Fazi dan Dayah terdiam dalam kelegaan.

"Pak Hamid kamu dulu tu ada 'membela'. Dia ni popular di kalangan orang-orang kampung sebab ada 'membela' hantu raya." Ustaz Khairi terpaksa menjelaskan semua itu. Dia pasti yang Faiz tidak tahu langsung akan perkara ini. Faiz dan Dayah tergamam!

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home