Blogger Template by Blogcrowds.


AMARAN: Segala nama, watak dan jalan cerita dalam penulisan kami adalah FIKSYEN. Tidak ada kena mengena sama ada dengan yang hidup atau pun mati. Anda dilarang sama sekali meniru adegan-adegan yang terdapat di dalam kisah ini dan kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kecelaruan serta akibat buruk daripadanya.
........................................

Butang muat turun di tekan, tempoh waktu muat turun menunjukkan 20 minit. Sambil menunggu video-video tersebut untuk di muat turun, Joni duduk bersandar sebentar di kerusi berhadapan komputernya. Kotak Winston merah di atas meja dicapai. Joni mengeluarkan isinya dan meletakkan di hujung bibir lalu menyalakannya. Asap dihembus, memenuhi segenap ruang bilik kecil itu. Sambil menyedut, Joni tersenyum memerhatikan skrin komputernya. Proses muat turun hampir selesai.

Joni, 23 tahun. Merupakan seorang pelajar sebuah kolej di ibu kota. Dia menyewa sebuah rumah kecil di flat di dalam lautan hutan batu itu. Rumahnya itu bersaiz kecil seperti saiz bilik. Hidupnya sebagai pelajar tidak memerlukan dia terlalu memikirkan sangat tentang tanggungjawab-tanggungjawab penting dalam kehidupan ini. Bagi dia, erti hidupnya adalah pergi kelas, balik kelas, melepak dan berhibur. Rutin itu sahajalah yang dia ulangi setiap hari. Namun Joni tidak terlalu menghabiskan masa untuk bersosial sangat, kawan-kawanya juga tidak ramai. Joni sangat selektif dalam memilih kawan. Kawan rapatnya hanya tiga orang iaitu ijoy, Kimi dan Alia. Dengan mereka sahajalah Joni habiskan waktu.

Joni sangat pasif dan pendiam di kolej. Ketika rakan-rakan sekelasnya berborak dan berbincang tentang pelajaran, Joni memilih untuk diam dan duduk sendirian. Bukanlah Joni ini mengamalkan fahaman anti-sosial, tetapi baginya rakan-rakan sekelasnya ini sangat tidak menyelesakan. Masing-masing berlumba-lumba mahu menunjukkan siapa hebat, siapa yang lebih bergaya dan siapa yang lebih bijak. Macamlah yang dia tidak tahu yang kebanyakkan rakan-rakannya ini meniru sewaktu kuiz. Macamlah yang dia tidak tahu ada antara rakan-rakannya menjadi kaki bodek setia pensyarah. Joni hanya perhatikan dan dia tahu ini bukan bodek biasa-biasa. Joni semakin meluat.

Hanya di dalam kelas sahaja Joni menjadi pendiam tetapi tidak jika bersama tiga rakan baiknya ini, Ijoy, Kimi dan Alia. Ketiga-tiga mereka ini sangat memahami sifat Joni dan boleh dikatakan mereka sekepala. Mereka memahami apa yang masing-masing fikirkan. Namun kadangkala Ijoy, Kimi dan Alia tidak faham tentang hobi pelik Joni. Joni amat gemar menonton video-video seram dan video-video bunuh yang dia dapati dari internet. Lebih mengerikan lagi, kebanyakkan video itu merupakan rakaman pembunuhan sebenar dan bukan lakonan. Video-video itu dia tonton dan muat turun dari laman internet rahsia, di mana tidak semua orang mempunyai kepakaran untuk mengakses ke laman internet tersebut. Laman internet itu kandungannya terlalu menganggu sensitiviti masyarakat.

...................................................

Joni merapatkan sedikit kerusinya ke komputer. Berpuluh-puluh video seram dan bunuh sudah berjaya di muat turun. Joni tersenyum lebar, koleksi video yang disimpan di dalam fail yang di namakan 'Video Ngeri' di dalam komputernya kini sudah mencecah ratusan video. Joni sendiri tak pasti apa yang menyebabkan dirinya ini begitu obses dengan video-video mengarut tersebut. Tetapi bila menontonnya bagai ada satu kepuasan buat dirinya. Hobi Joni agak pelik, tiga orang rakannya itu bimbang jika Joni terlalu obses dan terpengaruh dengan video-video tersebut.

Video pertama di mainkan. Joni menyalakan lagi sebatang rokok sambil menonton video tersebut. Video itu menunjukkan rakaman sebenar penyembelihan seorang mangsa culik, si penyembelih memakai penutup muka ala Taliban. Parang panjang diletakkan di leher mangsa dan dilalukan laju ke leher mangsa, dengan tidak sampai beberapa saat darah memancut-mancut keluar dari belahan leher si mangsa. Mangsa mati serta merta menyembah bumi dengan kepala yang longlai dan leher yang hampir terputus. Kening Joni terangkat. Joni semakin laju menghisap dan menghembus asap rokok. Dia teruja sambil memainkan video yang seterusnya.

Video yang seterusnya memaparkan kejadian kemalangan jalan raya. Rakaman dibuat dengan menggunakan telefon bimbit oleh saksi kejadian. Mangsa seorang penunggang motosikal, telah terperosok di bawah tayar sebuah lori kontena. Hampir keseluruhan kepala dan badannya terhimpit dibawah lori. Rakaman menunjukkan kepala mangsa sudah 90 peratus hancur, manakala bahagian badan daripada paras pinggang sudah terputus. Cebisan-cebisan otak dan daging merah bertaburan di atas jalan raya, isi perut mangsa pula tersangkut di celah-celah tayar dan bahagian bawah lori. Darah membasahi jalan, anggota-angota badan yang lain bertaburan. Sungguh mengerikan. Joni semakin galak, dia menonton video-video seterusnya yang dimuat turun sebentar tadi.

Joni khusyuk menonton. Dia sudah semakin lali dengan imej-imej dan visual-visual yang mengerikan serta memualkan dari video-video tersebut. Video seterusnya dimainkan, video penyeksaan seorang tahanan. Lelaki-lelaki di dalam video itu berkomunikasi dalam bahasa Rusia, ada lima orang semuanya termasuk si perakam video. Kelihatan lelaki tersebut sedang berdiri mengelilingi seorang lelaki pertengahan umur di sudut bilik. Lelaki itu menjadi tahanan. Pakaiannya kotor, rambutnya kusut masai manakala wajahnya berlumuran darah. Seorang daripada 5 lelaki itu menghiris kaki mangsa menggunakan pisau. Tahanan itu menjerit kesakitan dengan wajah yang sangat mengasihankan. Bagi menambah lagi seksaan, seorang lagi lelaki telah menikam sebatang kayu tajam kedalam belahan luka hirisan itu. Lelaki itu menikam dengan berulang-ulang kali di tempat yang sama. Memancut-mancut darah keluar, tahanan itu melolong kesakitan. Sakit yang amat sakit. Joni menghela nafas panjang.

Joni bangun sebentar dari kerusi bagi meneutralkan perasaan mualnya kesan daripada menonton video-video ngeri tersebut. Kotak rokok di ambil lalu dibuka. Joni mengeluh kerana rokoknya sudah habis. Dia mencapai telefon bimbitnya, mendail nombor lalu meletakkannya di telinga. Joni menelefon sambil berdiri di tepi tingkap rumah flatnya.

"Hello, ijoy. Kau kat mana? datang lepak rumah aku tak hari ni?"

"Hello ya Joni, aku datang tapi sekejap sahaja lah, sebab Alia dengan Kimi ajak pergi makan. Kau dah makan belum? Jomlah pergi dengan kami sekali"

"Aku tak ikut kot, sibuk sikitlah hari ni. Ijoy, nanti kalau kau datang sini, aku kirim rokok ya"

"Kau ni sibuk apa je Joni? Payah betul nak ajak keluar. Oklah. Winston merah kan? Lagi sepuluh minit aku sampai"

"Ya, terima kasih Ijoy!"

Joni meletakkan telefon di sudut meja lalu duduk di kerusi hadapan komputer tadi. Joni sambung semula menonton sementara menunggu kedatangan Ijoy. Video seterusnya ini adalah video daripada rakaman CCTV. Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki sedang berdiri dan bercakap di telefon sambil berdiri di tepi tingkap. Joni rasa dia seperti kenal lelaki dan keadaan bilik itu. Lelaki itu memakai t-shirt berwarna oren dan berseluar pendek berwarna hitam. Joni kelihatan terkejut. Dia memandang baju yang sedang dipakainya. Warna oren. Dia memandang pula seluar pendek yang dipakainya. Warna hitam. Dia meneliti bilik yang terpapar dalam video itu. Joni tergamam. Sah itu adalah bilik dia, dan lelaki dalam video itu adalah Joni. Baru sebentar tadi dia berdiri di tempat yang sama ketika sedang menelefon Ijoy. Dia melihat pula pada tarikh dan masa di dalam rakaman itu, ia menunjukkan tarikh hari ini!

Joni memberhentikan video itu lalu pantas memandang ke siling biliknya, tiada kesan-kesan penampakkan kamera CCTV di situ. Puas dia cari di seluruh bilik tetapi langsung tidak jumpa kewujudan kamera tersembunyi itu. Joni mundar-mandir. Dalam kebingungan dia terus duduk dan memainkan sambungan video itu tadi. Dia seperti mahu tahu apa terjadi seterusnya. Muka Joni gelisah, tangannya terketar-ketar. Di dalam video itu 'Joni' sedang berdiri menelefon, tidak lama selepas itu 'dia' duduk semula di kerusi berhadapan komputer. Apa yang kelihatan di dalam video tersebut memang sama tingkah lakunya dengan apa yang Joni buat sebentar tadi. Kecuali video yang 'Joni' tonton di komputer itu. Video itu tidak sama dengan video yang sedang Joni tonton sekarang ini.

(Video dimainkan)
'Joni' di dalam video itu kini sedang duduk melihat komputer, 10 minit selepas itu kedengaran pintu bilik diketuk. 'Joni' bingkas bangun dan pergi menuju ke pintu bilik yang terletaknya hanya tiga meter dari komputernya. 'Joni' membuka pintu. Kelihatan seorang lelaki berjaket hitam dan memakai topi meluru ke arah 'Joni' dan menolaknya sehingga jatuh. 'Joni' dan lelaki itu saling bergelutan, namun fizikal lelaki berjaket hitam itu lebih besar daripada 'Joni'. 'Joni' dihentak kuat ke dinding dan terkulai jatuh. Lelaki itu mengeluarkan kapak dari dalam beg lalu menetak kepala 'Joni' berulang-ulang kali sehingga berlumuran darah. Kulit kepala 'Joni' terkoyak dan terkopak menampakkan isi. Kepala'nya' pecah, otaknya terburai keluar akibat tetakan berulang kali oleh lelaki berjaket hitam itu. Seluruh bilik dan dinding 'Joni' dipenuhi darah.

Video terus diberhentikan. Peluh meluncur laju. Joni terketar-ketar ketakutan, mukanya kelihatan sangat pucat. Jika betul lah apa yang dia baru tonton itu, maksudnya nyawanya kini hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi untuk diragut. Tambahan pula video itu menunjukkan tarikh kejadian itu berlaku pada hari ini. Di dalam video itu jam yang menunjukkan lelaki itu datang adalah pukul 10.07 minit malam. Sekarang sudah pukul 10.03 minit. Joni duduk terdiam kaku di atas kerusi. Tiba-tiba telefonnya berdering. Nama Ijoy tertera di skrin.

"Hello Joni, aku lambat sikit tau, aku pergi tolong Kimi sekejap sebab kereta dia rosak. Eh Joni, tadi masa aku dalam perjalanan aku terselisih dengan seorang lelaki ni. Dia macam berjalan menuju ke flat kau, sebelum ni tak pernah pula aku nampak. Mungkin baru pindah situ kot"

"Lelaki tu pakai apa" Balas Joni terketar-ketar

"Yang aku perasan dia pakai jaket hitam dan pakai topi, sambil tu dia bawak beg. Oklah Joni, aku nak cepat ni nanti sekejap lagi aku datang"

"Oh.. o.. okay. Ijoy kau boleh datang seka..."

Joni tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana Ijoy sudah meletakkan telefon. Ketika itu juga Joni terdengar pintu biliknya di ketuk. Sudah pasti dia tak akan membuka pintu tersebut oleh kerana dia telah tahu akan kesudahannya. Jam pula memang sedang elok menunjukkan pukul 10.07 minit malam. Joni buntu dan dia tahu tiada apa-apa yang boleh menyelamatkannya dalam masa yang sangat genting ketika itu. Joni terperangkap. Cepat-cepat Joni mengunci pintu biliknya. Tetapi, Joni lupa yang lelaki itu mempunyai kapak.

..................................................

Dari celah-celah pintu bilik yang pecah, kelihatan Joni terbaring dengan kepalanya yang hancur. Darah membasahi lantai biliknya. Dia dibunuh sama seperti di dalam video tersebut.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home