Blogger Template by Blogcrowds.


Kejadian berlaku pada suatu malam ketika rakan-rakan saya sedang bermain game PS2 di rumah salah seorang daripada mereka. Waktu itu mereka sedang asyik bergelak ketawa terjerit sakan bermain game Pro Evolution Soccer. Rasanya Arsenal melawan Chelsea malam itu. Sedang asyik leka bermain dan berseronok, tiba-tiba mereka semua terdengar bunyi ketukan pintu rumah.

"Dupp! Dupp! Duppp!"

Mereka semua memberhentikan sekejap permainan dan mengamati bunyi ketukan itu. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Rakan yang seorang ni bangun untuk membuka pintu dan melihat siapa di luar. Rakan-rakan yang lain menyuruhnya mengintai dari bawah pintu dahulu untuk mengenal pasti siapa yang datang. Tetapi tidak kelihatan langsung selipar, kasut mahupun kaki di hadapan pintu tersebut. Rakan saya ni dengan nada untuk menyedapkan hati telah mengatakan mungkin mereka semua tersalah dengar bunyi. Mungkin bunyi itu datang dari tempat lain.

Sewaktu perlawanan disambung, tidak sampai 5 minit kedengaran lagi bunyi ketukan itu. "Dupp! Dupp!! Duppp!!" Bunyi itu makin lama makin kuat. Mereka semua terdengar bunyi ketukan itu. Memang sah datangnya dari pintu rumah itu. Tetapi mereka semua hairan bunyi ketukan itu seperti tidak terhasil daripada bunyi ketukan tangan atau kaki, tetapi bunyi itu seperti terhasil daripada badan yang dilanggar-langgar ke pintu. Seorang rakan yang lain cuba sekali lagi memeriksa dari bawah pintu, tapi hal yang sama terjadi. Memang tidak kelihatan langsung kelibat kaki. Dalam masa dia melihat bawah pintu tersebut tiba-tiba kedengaran lagi bunyi ketukan itu. Apalagi melompat ke belakang lah kawan kita ni ketakutan.

Dalam waktu yang mendebarkan itu salah seorang rakan teringat kata-kata oleh ibunya. Jika terdengar bunyi seperti ada 'benda' melanggar-langgar pintu maka janganlah buka. Sebab 'benda' itu sebenarnya ingin meminta bantuan orang yang berada di dalam rumah untuk membuka ikatan bungkusan di kepalanya. Kalau difikirkan masuk akal juga, kerana 'benda' itu sudah berbungkus, mana mungkin 'dia' akan mengetuk menggunakan tangan, jadi dia akan mengetuk pintu secara melompat dan melanggar-langgar pintu rumah menggunakan badannya. Malam itu mereka dihantui oleh bunyi ketukan dan dentuman di pintu itu. Masing-masing terdiam dan duduk berpelukan ketakutan.

Malam itu Arsenal dan Chelsea seri 0-0.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home