Blogger Template by Blogcrowds.


Langit petang semakin mendung, awan gelap perlahan-perlahan berarak menutupi seluruh kawasan pekan kecil itu. Hari sudah mula menunjukkan tanda-tanda mahu hujan. Nadia mempercepatkan langkahnya, beg yang disandangnya sebentar tadi diletakkan di atas kepala bagi melindungi daripada hujan renyai. Kaki lima yang dilalui Nadia semakin basah oleh kerana hujan yang semakin lebat. Dia sudah biasa pergi dan pulang ke kelas tuisyen dengan berjalan kaki. Selalunya dia membawa payung bagi mengelakkan kulit mulusnya itu terkena panas, tetapi hari itu dia terlupa oleh kerana ingin cepat.

Nadia yang tadinya berlari-lari anak kini terus berlari laju kerana hujan semakin lebat. Usahanya dengan meletakkan beg di atas kepalanya tadi seakan sia-sia kerana dia hampir basah lencun. Dalam berlari Nadia ternampak sebuah pondok menunggu bas yang terletak di atas kaki lima di tepi jalan. Dia terus berlari menuju ke pondok itu sebagai tempat untuk berteduh sementara. Nadia memilih untuk duduk dahulu di bangku pondok bas itu sementara menunggu hujan berhenti. Dia keseorangan berteduh di situ. Sambil menunggu hujan dia melihat kenderaan yang lalu lalang. Lima minit sudah berlalu namun hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Rasa menyesal terbit di hati Nadia kerana terlupa membawa payung, jikalau tidak mungkin sekarang ini dia sudah sampai di rumah dan berehat-rehat.

Sedang asyik menunggu, Nadia didatangi oleh seekor kucing kecil. Perlahan-perlahan kucing itu melangkah dan mengiau sambil memandang Nadia. Bulunya berwarna kelabu manakala mukanya sangat comel. Nadia terpesona dengan kecomelan kucing itu. Dia memandang ke kiri dan kanan untuk memastikan memang benar tiada tuannya berhampiran dan mungkin kucing itu kucing yang berpeleseran akibat dibuang orang. Kucing itu mengiau di kaki Nadia sambil menunjukkan isyarat seperti mahu diberikan perhatian. Nadia tunduk lalu mengangkat si kelabu comel itu lalu membelai perlahan. Kucing itu nampak kelaparan. Kucing itu masih lagi mengiau dalam pegangan Nadia.

Hujan sudah mula reda. Penunggang-penunggang motosikal yang turut menumpang berteduh di pondok itu kembali meneruskan perjalanan masing-masing. Nadia bangun dan bersiap-siap untuk menyambung langkahnya pulang ke rumah. Nadia sempat menoleh ke belakang untuk melihat kucing yang datang kepadanya tadi. Kucing itu masih berada di atas bangku pondok bas, ia kelihatan lapar dan kesejukan. Nadia memandang kucing itu sayu, rasa kasihan wujud di hati dia. Kucing itu kembali diangkat, Nadia mengambil keputusan untuk membawa ia pulang ke rumah dan memberi makan. Sekurang-kurangnya dapatlah kucing itu mengalas perutnya bagi kelangsungan hidup.

.....................................................

Buku latihan Skor SPM Matematik Tambahan diselak satu persatu, Nadia menyelak muka surat mengandungi latihan yang ditandanya ketika di kelas petang tadi. Nadia amat mementingkan masa dan dia tidak akan sewenang-wenangnya menangguh kerja. Latihan yang guru tuisyennya pesan petang tadi terus dibuat olehnya. Tambahan pula esok hari Sabtu, jadi dia membuat keputusan untuk tidur lewat sedikit malam ini dengan menyiapkan semua latihan tersebut. Bagi menghilangkan sunyi malam, Nadia memainkan lagu yang terdapat di dalam komputer ribanya.

Ruang tamunya yang tadi riuh dengan bunyi televisyen kini sudah tidak kedengaran. Ibu bapanya mungkin telah masuk tidur. Nadia pula sedang asyik membuat latihan Matematik Tambahannya. Fokus Nadia tiba-tiba hilang apabila dia merasakan ada sesuatu yang bergesel di kakinya. Terkejut dia apabila melihat kucing kecil yang dikutipnya di pondok bas petang tadi sedang mengiau dan mengesel-geselkan badannya di kaki Nadia. Rasanya selepas memberi makan petang tadi Nadia sudah meletakkan ia di luar dapur. Nadia kehairanan. Tetapi barangkali ibunya mesti lupa untuk menutup pintu jadi si comel itu telah menyusup masuk dan bersembunyi di dalam.

Nadia memegang si kecil kelabu itu lalu mengusap-usap kepalanya. Kucing itu memberi reaksi yang amat manja apabila di usap-usap bulu dan kepalanya. Tekanan dan stress daripada Matematik Tambahan tadi terus serta merta hilang apabila si comel itu datang kepada Nadia. Benarlah kata orang bahawa kucing ini ibarat terapi pada jiwa manusia. Sedar tak sedar sudah jam 2 pagi sejak Nadia duduk menghadap buku latihan itu pada pukul 12 tengah malam. Lagu Vanessa Carlton - A thousand miles di komputer ribanya dimatikan. Nadia berasa amat malas untuk turun membawa kucing itu ke bawah, jadi dibiarkan sahaja si kecil itu baring dan bermain di biliknya.

Nadia terus melabuhkan badan ke katil empuknya manakala kucing itu baring di atas karpet berdekatan meja belajarnya. Disebalik samar-samar cahaya lampu meja, Nadia merenung kucing kecil yang sedang nyenyak tidur di sebalik kehangatan karpet itu. Dia hairan bagaimana anak kucing yang sebegitu comel boleh dibuang oleh tuannya. Kalau hendak dibuang sekalipun, buanglah bersama ibunya supaya si kecil ini ada tempat untuk bergantung dan sentiasa mendapat perlindungan daripada ibunya. Renungan Nadia kepada kucing itu lama-lama kabur, dan dia terus terlelap akibat keletihan.

Tidur nyenyak Nadia tiba-tiba terganggu, dia terasa seperti jarinya sedang dijilat-jilat. Kedengaran juga bunyi mengiau ketika itu. Dalam separa sedar dia tahu kucing kecil itu sedang menjilat-jilat jari tangan Nadia. Nadia amat berat untuk membuka matanya akibat terlalu letih, lalu dibiarkan sahaja kucing itu menjilat dan bermain-main jari tangannya. Ada kalanya kucing itu menggigit-gigit manja jari tangannya. Ada kalanya juga kedengaran bunyi kucing itu sedang berlari-lari di atas karpet. Nadia terus terlena ditemani si comel itu sehingga sinar pagi menjelma.

"Ibu ada nampak anak kucing semalam tu tak? Yang warna kelabu tu" Soal Nadia kepada ibunya setelah melihat kucing kecil itu sudah tiada di dalam biliknya pagi itu.

"Manalah ibu nampak. Kan lepas bagi makan semalam Nadia yang letak anak kucing tu kat luar. Mungkin dia ada lah tu kat luar" Jawab ibu Nadia

"Tapi malam tadi dia ada dengan Nadia, dia masuk bilik Nadia"

"Eh, janganlah biar kucing tu terbiasa kat dalam rumah ni sangat, Ayah kamu tu kan ada asma. Dia alah dekat bulu-bulu kucing ni. Sudah, pergi mandi lepas tu sarapan" Nasihat ibu Nadia

Selesai bersarapan dan mengemas rumah, Nadia mencari kucing tersebut di luar rumah. Namun tiada tanda-tanda yang menunjukkan kucing itu kelihatan. Barangkali ia sudah berjalan ke luar menuju ke pasar basah berdekatan rumahnya. Di situ memang banyak kucing-kucing yang terbiar dan berpeleseran. Harapannya agar si kecil itu dapat meneruskan hidupnya dengan mencari makanan sendiri di situ.

..........................................................

Nadia menutup pintu bilik, begnya di letakkan di atas meja. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu berbaring di katil. Dia melihat semula gambar-gambar bersama rakan-rakannya siang tadi. Dia tersenyum. Sebelum menduduki peperiksaan SPM, Nadia dan rakan-rakannya sudah berjanji untuk keluar makan bersama dan menonton wayang. Oleh sebab keletihan, Nadia terlelap dengan telefonnya masih berada digenggaman.

Jam sudah hampir memasuki waktu Maghrib, Nadia terjaga dari lenanya. Dia terjaga bukan sebab terdengar Azan dari Masjid tetapi terdengar bunyi seperti ada sesuatu sedang mencakar. Bunyi itu datang dari dalam alamari bajunya. Dia kehairanan namun dia positif. Mungkin anak kucing itu sudah terperangkap di dalam almari tersebut. Bunyi cakaran makin jelas. Perlahan-lahan pintu almari dibuka, Nadia mencari-cari kucing itu tetapi tiada tanda kewujudannya di situ. Puas baju-bajunya di selongkar namun hampa. Memang tiada anak kucing itu di situ. Nadia berdiri mencekak pinggang sambil kehairanan.

"Tu lah kamu, senja-senja suka tidur! Sejak petang semalam memang mak dah tak nampak langsung kelibat anak kucing tu dah" Bebel Mak Nadia

"Tapi tadi orang dengar bunyi macam dia ada kat dalam bilik tu" Nadia cuba membidas

"Cuba la cari betul-betul, entah dia menyorok dekat mana entah. Lepas dah jumpa tolong keluarkan dari rumah ya. Nanti Ayah kamu bising. Dia mana suka kucing-kucing ni semua" Mak Nadia memberi arahan

"Nadia, kenapa mak tengok kamu ni makin kurus? Drastik pula tu. Mak tengok kamu kat rumah ni tak adalah jarang makan" Soal Mak Nadia. Soalan itu dibiarkan sepi oleh Nadia

Nadia mula hilang akal. Dia pasti memang terdengar bunyi cakaran itu senja tadi. Dari mana pula datangnya bunyi itu jika anak kucing tersebut memang tiada di situ? Sudahnya Nadia malas nak mengambil kisah berkenaan hal itu. Tetapi entah kenapa dia bagai terpesona dengan kehadiran kucing comel tersebut. Dia mula rindu dan teringat-ingat. Malam itu terjadi lagi hal yang sama seperti malam kelmarin. Nadia merasakan ada sesuatu sedang bermain dan menjilat-jilat jari kakinya. Memang dia fasih benar daripada gaya itu. Anak kucing itu datang lagi. Antara separuh sedar, Nadia perlahan-perlahan mengerakkan kakinya dan membuka mata supaya anak kucing itu tidak terkejut dan lari.

Sebaik dia membuka mata,sepantas kilat terlihat seperti kelibat kucing sedang bergegas lari ke bawah katil. Mungkin dia sedar bahawa Nadia telah terjaga dan terus kucing itu ingin bersembunyi. Lampu bilik dipasang, Nadia mencari-cari kucing itu di bawah katil. Gelap dan kosong. Tiada penampakan kucing di bawah katil. Merata dia cari di segenap ruang biliknya. Memang tiada. Puas dia memanggil namun tiada sebarang kucing pun yang keluar. Nadia mula berperasaan antara bingung dan seram. Lampu kembali ditutup, Nadia sambung tidur. Dia sebenarnya merasa pelik kerana kelibat fizikal yang diingatkan kucing itu terlalu besar untuk seekor anak kucing.

Nadia baru hendak kembali lena tiba-tiba dia terdengar suatu bunyi. Bunyi ada sesuatu sedang mencakar dindingnya. Kemudian bunyi seperti ada sesuatu berfizikal besar sedang berlari-lari mengelilingi biliknya. Sangat riuh rendah bunyinya ketika itu. Sejak bila pula anak kucing yang kecil itu sudah bertukar menjadi manusia. Bisik hati Nadia ketakutan. Nadia tarik selimut. Bantal di tekup ke muka bagi mengelakkan dirinya terlihat benda-benda yang tak ingin dia lihat.

"hhhheeeerrrrr, Nadiaaa.... Janganlah tutup muka tu dengan bantaaal.. hhhhheeeeeeiii"

Nadia terus menangis ketakutan mendengar suara garau yang berselang seli dengan halus itu. Dia tahu ada yang tidak kena dengan situasi dalam biliknya kini. Nadia terus menekup mukanya dengan bantal akibat ketakutan yang amat sangat. Perlahan-lahan dia terdengar seperti ada benda sedang naik ke katilnya, di saat itu juga Nadia sedar jari kakinya sedang dijilat-jilat dan digengam oleh sepasang tangan yang halus, kurus dan sejuk. Nadia terus menjerit dan menangis. Dia tidak berani melihat.

Dalam pada itu Nadia sedar yang benda itu kni sedang mula perlahan-lahan naik ke tubuhnya. Nadia seperti dipaku di katil. Dia langsung tidak boleh bergerak mahupun menjerit minta tolong. Kini dia merasakan ada jari jemari yang berkuku panjang sedang membelai-belai lengannya. Keadaan itu berlarutan untuk beberapa minit kemudian benda itu kelihatan senyap. Tiada lagi terasa seperti ada tangan sedang memegangnya. Dia berasa lega dan terus mengucap panjang. Nadia memberanikan dirinya untuk melihat keadaan sekeliling, perlahan-lahan dialihkan bantal dari mukanya. Suasana senyap sunyi malam itu.

Nah, Dari hujung katil lembaga itu terapung dan meluru ke arah Nadia! berwajah amat menakutkan dengan gigi bertaring dan biji mata yang merah terbeliak. Tubuhnya dibaluti kain putih panjang. Rambutnya usah cakap. Panjang mengurai sehingga ke lantai. Wajah hodoh itu betul-betul di hadapan muka Nadia. Mulutnya terbuka luas menampakkan taring. Nadia menggigil ketakutan yang terlalu takut, dia ingin memejamkan matanya tetapi tidak terdaya.

"hhhhheeeeeee.. hihiiiii... Pandanglah muka aku Nadiaaaa.. !! Kau dah ambil aku.. jadi aku akan temani kau setiap malammmm.. hhhhheeee!!"

Hantu itu terus ketawa menghilai. Nadia menjerit kuat ketakutan. Dengan harapan ibu bapanya terdengar. Tidak sanggup lagi dia melihat lembaga berwajah hodoh itu berdesir dihadapannya. Ia langsung tidak berganjak, Nadia semakin terasa berat di dada. Dengan baki tenaga yang ada, ayat-ayat suci dibaca. Lembaga hodoh itu terbang terapung ke atas siling, rambut hitamnya yang panjang hampir mengenai muka Nadia. Hantu itu melompat laju, lalu bertenggek di atas almari. Dia memandang tajam ke arah Nadia lalu mengilai kuat kemudian hilang.

Nadia demam seminggu selepas kejadian itu. Baru dia tahu selama ini yang menjilat dan menggigit jari kakinya adalah 'benda' itu. Tidak hairanlah ibunya menegur Nadia yang kelihatan kurus.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home