Blogger Template by Blogcrowds.


Sudah hampir satu jam lamanya dia duduk termenung di sofa ruang tamu itu. Matanya melilau memandang ke siling melihat kipas yang sedang berpusing perlahan. Perlahan dan sayu. Petang itu cukup hening, hari itu seakan memahami dirinya yang dirundum kesedihan. Sesekali angin petang meniup-niup pipinya perlahan, mengeringkan air matanya yang sejak dari tadi mengalir jatuh ke pipi. Irfan masih tidak percaya apa yang terjadi ke atas dirinya itu. Hidupnya yang sebelum ini penuh berwarna-warni kini menjadi kelabu dan hitam. Gelap. Pahit, kelat dan bermacam-macam lagi yang harus dia telan.

Irfan membelek-belek gambar di telefon bimbitnya. Entah sudah berapa kali dia berbuat begitu untuk hari ini. Ditatap puas-puas wajah ayu berkulit mulus di skrin telefonnya. Air matanya jatuh berderai lagi. Irfan tahu yang dia akan mengalami sebak yang hebat apabila menatap wajah itu, namun dia tetap berdegil mahu menatapnya. Rindunya itu tidak terlepas. Seperti ditahan-tahan, kesannya sangat perit dan pedih. Selepas kejadian itu, Irfan banyak berseorangan. Hidupnya seperti terus berubah 360 darjah. Kadangkala dia terdengar seperti ada suatu suara halus yang menyuruhnya menyalahkan takdir, namun cepat dilupakannya supaya tidak terpesong iman dan akidah.

Dia berjalan menuju ke bilik dengan langkah yang lesu. Semangat-semangat yang dia miliki sudah mulai hilang, lesap di telan kesedihan. Irfan duduk di hujung katil, matanya sekali lagi melilau memerhati seluruh ruang biliknya. Diperhati gambar berbingkai yang diletakkan di atas meja, ayu sungguh wajahnya. Irfan mula membayangkan perkara yang manis-manis antara dia dan si cantik manis itu. Dia tersenyum seorang diri. Irfan membuka laci mejanya dan mengambil satu kotak kecil. Penutup kotak kecil itu dibuka perlahan dan mengambil cincin di dalamnya. Sekali lagi air matanya bergenang.

.....................................................

"Sayang, kalau lah kita ni boleh berhentikan waktu kan best. Sebab i tak nak masa ni habis, i nak you sentiasa ada depan mata i je" Kata Alia sambil menatap lama mata Irfan.

"Nanti kalau kita dah kahwin, hari-hari you boleh tatap wajah i ni puas-puas, sampai bosan. hehe" Balas irfan tersenyum, hatinya sentiasa girang apabila bersama dengan kesayangannya itu.

"Eh, you nak kahwin dengan i ke? hehee bestnya!" Alia ketawa kecil dan sambil menutup mukanya malu menampakkan lagi kecomelan yang ada pada dirinya. Dirinya kelihatan teruja.

Irfan turut tersenyum. Dia sebenarnya telah merancang satu kejutan untuk teman wanitanya itu esok. Esok harijadi Alia, jadi dia bercadang untuk melamarnya dengan memberi cincin yang baru dibelinya minggu lepas. Irfan tidak sabar ingin melihat reaksi Alia nanti. Irfan hanya sayang dan cinta Alia seorang, sejak dari Matrikulasi lagi mereka bercinta. Irfan hanya nampak Alia seorang yang dapat memenuhi dan melengkapi diri dia satu hari nanti. Perwatakan Alia yang lemah lembut dan ayu menarik perhatian Irfan pada awalnya. Alia sentiasa menyokong dan memberi dorongan yang kuat kepada Irfan setiap kali Irfan dalam kesedihan dan kesusahan. Baginya Alia sangat matang dalam perhubungan. Jika mereka ada perselisihan faham, mereka akan duduk berbincang secara baik. Semua masalah tidak di pendam, kerana pendam kelak akan jadi dendam.

Namun, kebahagiaan Irfan berakhir di petang itu. Sewaktu dalam perjalanan pulang, sebuah lori telah terbabas dan menhentam kuat sisi kiri kereta Irfan. Kereta melambung dan Alia telah terperosok ke hadapan dan tersepit di papan pemuka kereta yang hancur ranap. Nyawanya memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi ketika itu. Irfan pula terselamat dan hanya mengalami luka-luka luar di kepala dan badan. Hatinya jatuh berderai melihat gadis kesayangannya itu dalam keadaan mengerikan. Wajah ayu yang sempat dia tatap sebentar tadi kini sudah berlumuran darah, tubuh genitnya tersepit dalam keadaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi. Kulit yang putih mulus itu sudah dibasahi darah pekat. Irfan meraung menangis sekuat hati di sisi Alia yang sudah tidak bernyawa lagi. Alia meninggal dunia sebelum sempat dia meraikan hari jadinya.

.....................................................

Irfan merenung lama cincin yang ingin dia berikan kepada Alia pada hari jadinya itu. Namun semuanya sudah terlambat, Alia telah pergi terlebih dahulu sebelum sempat dia menyarungkan cincin tersebut. Dugaan ini amat hebat dan besar buat Irfan yang sudah menaruh harapan tinggi dan menanti kebahagiaan yang mutlak buat dirinya dan juga Alia. Tetapi Tuhan lebih Maha berkuasa dan Maha mengetahui. Irfan pasrah dan redha menangisi pemergian kekasih kesayangannya. Kejadian itu memberi impak yang mendalam kepada Irfan. Hidupnya kini terganggu, dia menderita setelah separuh nafasnya itu telah pergi buat selama-lamanya.

"Pan, takziah. Aku baru dapat tahu semalam, tu pun Mirul yang beritahu aku" Rakan serumahnya, Amar tiba-tiba datang menegur di pintu bilik.

"Eh, bila kau balik?" Irfan pantas menutup kembali laci yang menyimpan cincin itu.

"Aku baru sampai ni tadi. Kau okay?" Amar masuk ke bilik Irfan. Irfan hanya terdiam tidak menjawab pertanyaan Amar. Muka Irfan sugul.

"Sabar ya Pan, aku faham perasaan kau sekarang ni. Allah lebih sayangkan Alia. Sudah lah tu ya, yang pergi tetap akan pergi. Kau yang hidup ni kena teruskan hidup kau" Amar cuba menenangkan Irfan.

"Terima kasih Mar. Tak sangka Dia ambil Alia terlalu awal. Orang tua kau sihat?" Irfan berdiri bersandar merenung ke luar tingkap bilik.

"Orang tua aku sihat je, cuma aku je ni yang tak sihat. Mana tidaknya, hantu-hantu dekat kampung tu dah mengacau aku. Lahanat betul. Terus demam aku tiga hari" Jawab Amar sambil memerhati keadaan bilik Irfan yang tidak terurus.

"Kau ni ada-ada je la" Balas irfan pendek.

"Iya Pan betul, aku tak tipu. Aku kena sakat dek hantu dekat warung kampung aku tu. Eh, jom lah pergi minum. Nanti aku cerita pasal hal aku kena ganggu hantu orang kampung ni" Amar cuba mengajak Irfan menenangkan fikiran.

Irfan hanya duduk membatu di hadapan maggi goreng dan teh o' nya, manakala Amar sibuk rancak bercerita perihal dirinya yang diganggu puaka kampungnya. Irfan seperti tidak berminat dan tidak begitu mengambil perhatian terhadap apa yang Amar cerita. Maggi goreng hanya dijamah sedikit, Irfan nampak tidak berselera. Mungkin masih menangisi pemergian Alia. Dia berterima kasih kepada rakan-rakannya yang menyokong dan tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepadanya. Hanya rakan-rakannya sahaja tahu betapa akrabnya hubungan dia dan Alia, betapa manisnya hubungan mereka.

"Yang menjadi persoalannya Pan, teh ais apa yang aku minum di warung berhantu tu masa tu?" Amar bersemangat bercerita

"Muhd Irfan. Kau dengar ke tak aku cerita ni?" Amar cuba mendapatkan perhatian rakannya yang seperti sedang berkhayal. Irfan hanya memerhati budak perempuan yang berada selang daripada dua meja mereka. Mukanya iras-iras Alia. Halusinasi iwan sampai ke situ. Sampai wajah budak perempuan itu pun dibayangkan Alia. Parah.

............................................................

Irfan mengeluarkan fail, kertas-kertas, dan buku-buku daripada beg sandangnya. Esok dia dan Irfan akan melalui satu hari penting dalam hidup mereka, iaitu perbentangan tesis yang selama satu semester mereka usahakan. Sedang Irfan mengeluarkan bahan-bahan untuk perbentangan esok, dia terjumpa satu buku kecil di dalam begnya. Dia membuka dan membaca helaian-helaian di dalam buku kecil tersebut. Terketar-ketar Irfan membaca satu demi satu perkataan yang bertulis tangan di dalam buku itu. Buku diari Alia!

Irfan hairan bagaimana diari Alia itu boleh berada di dalam begnya. Dia duduk bersandar di penjuru bilik sambil membaca diari tersebut. Matanya menahan sebak, air mata kembali berlinangan di pipi Irfan ketika itu. Dia membayangkan yang Alia masih hidup lagi, Irfan dapat merasakan kehadiran Alia malam itu. Berbagai kata-kata manis dan indah ditulis Alia buat kekasih hatinya itu. Alia dilihat sangat teruja dengan cinta yang Irfan beri kepadanya. Boleh dikatakan semuanya tentang diri Irfan dan keindahan hubungan mereka berdua. Dia tersenyum dalam bergenang air mata. Pembacaan Irfan sudah hampir sampai ke pertengahan diari..

24 Julai 2015, Khamis

Hati siapa yang tidak berbunga bila setiap pagi mendapat pesanan teks selamat pagi daripada kekasih tersayang. Irfan, hanya kau seorang di hati aku sekarang ini, aku cuma mahu kau tahu yang aku benar-benar bahagia memperoleh lelaki seperti kau. Aku cinta kau lebih daripada apa yang kau tahu Irfan. Sudah lebih kurang 7 tahun kita bersama namun aku masih rasa manisnya seperti kita baru bercinta semalam. Aku tak pernah bosan menatap wajah irfan yang aku sayangi dan aku tak pernah berasa bosan bila berada di sisinya. Irfan, kau pandai mengambil hati aku, berdebar jantung ini dan tersipu-sipu aku bila kau selalu bercerita soal rumahtangga dan tanggungjawab bila sudah berkeluarga. I can feel your husbandhood. Sama-sama kita usaha ke arah itu ya sayang.

25 Julai 2015, Jumaat

Aku tak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini aku sangat merindui Irfan. Jika ditanya banyak mana aku mencintai dia sudah tentu tidak dapat aku jelaskan dengan kata-kata. Terlalu banyak. Irfan pandai membahagiakanku, dia juga pandai memujukku dengan jenaka-jenakanya yang kadang kala memang menghiburkan hati aku. Aku tidak meminta banyak daripadanya, cukuplah ada di sisi aku setiap masa. Cukuplah dengan kasih sayangnya yang sungguh-sungguh itu. Memandang wajahnya membuatkan aku senang hati. Oleh kerana rindu yang melampau, sebentar tadi aku baru mengajaknya berjumpa, kami akan berjumpa di tempat biasa pada petang nanti di kafe bersebelahan taman rekreasi.

"Pan! Kau dekat mana tu, meh la sini tengok tv. Aku ada bawak kerepek dari kampung ni. Sedap woi." Suara Amar dari ruang tamu menganggu bacaannya. Irfan langsung tidak mempedulikan ajakan Amar. Matanya kembali ke diari milik Alia. Dia termenung sendirian melihat tarikh dan catatan diari yang terakhir itu sebelum Alia meninggal dunia. Tetapi berlaku sesuatu yang sangat memeranjatkan Irfan. Pada helaian sebelah terdapat sambungan lagi catatan diari bertarikh 26 Julai 2015 dengan tulisan tangan Alia! Tarikh kematian Alia! Bahkan terdapat susulan lagi catatan hari-hari selepas itu.

26 Julai 2015, Sabtu
Aku berasa sangat sejuk dan sunyi di sini.. Tolong aku.

27 Julai 2015, Ahad
Tolong .. keadaan di sini sungguh gelap dan sejuk. Aku menjerit kuat sehingga terkeluar tulang-temulangku

28 Julai 2015, Isnin
Aku tak dapat merasakan jasadku lagi. Gelap. Sunyi. Yang aku dengar hanyalah tangisan suara penderitaan daripada diri aku sendiri.

29 Julai 2015, Selasa
Sejuk, gelap dan derita. Aku mula teringatkan seseorang. Irfan. di mana engkau ..

Irfan menggeletar, perasaannya yang sedih tadi bertukar kepada seram apabila membaca namanya disebut oleh ‘Alia’ di dalam itu. Memang dia amat rindukan Alia. Dirinya seakan-akan separa sedar di alam realiti dan alam ghaib. Irfan mula berhalusinasi dalam pada masa yang sama dia ketakutan. Irfan terus membaca catatan yang tertulis di diari itu lagi. Mukanya kelihatan berpeluh-peluh walaupun suasana pada malam itu sejuk. Irfan terlihat catatan yang bertarikh 30 Julai, iaitu tarikh hari ini!

30 Julai 2015 – Rabu

Aku tahu kau sedang membaca diari aku ini Irfan. Walaupun aku sudah tiada lagi di dunia, namun aku masih teringatkan dirimu. Jangan risau dan jangan takut. Aku hanya ingin berjumpa dengan engkau. Aku terlalu rindu untuk menatap wajah kekasih hati ku ini. Aku terlalu sunyi di sini. Marilah, bangun dan keluarlah dari bilikmu itu dan berjumpa dengan aku di tingkat 5 sekarang ini. Aku ada di hujung koridor..

Irfan tergamam tidak terkata apa. Matanya terpaku memandang ayat "aku di tingkat 5 sekarang ini. Aku ada di hujung koridor". Dirinya kusut dan serabut memikirkan bai-bait perkataan tersebut. Cinta itu buta, rindu yang hebat tidak dapat dikawal lagi. Ketika itu minda Irfan sudah tidak dapat berfikir dengan waras. Hasutan syaitan tergiang-ngiang di kedua-dua belah telinga Irfan. Dia juga terdengar seperti suara Alia sedang memanggilnya sayup-sayup. Irfan sudah berhalusinasi teruk. Dirinya tidak dapat dikawal lagi, dia bangun dan berjalan tegak keluar dari biliknya sambil memegang diari tersebut. Pada masa itu bahagian putih matanya tidak kelihatan lagi, matanya menjadi hitam pekat. Irfan terbeliak sambil berjalan keluar rumah.

Amar yang sedang asyik menonton televisyen terkejut melihat Irfan berjalan menonong ke luar rumah. Fikirnya Irfan hanya mahu mengambil angin dan menenangkan diri pada malam itu. Amar memanggil Irfan namun langsung tidak diendahkan Irfan. Kini Irfan sedang berjalan menaiki anak tangga rumah flatnya satu persatu. Dia berjalan menonong sambil memegang diari itu. Pada masa itu Irfan seperti sudah dirasuk oleh kuasa syaitan, tidak dapat dipastikan sama ada dirinya sedar atau tidak ketika itu.

Irfan menaiki anak tangga yang terakhir untuk menuju ke tingat 5, lalu terlihatlah akan dia akan suatu sosok tubuh genit yang sangat dikenalinya dahulu berdiri tegak di hujung koridor. Alia! Alia yang memakai gaun putih melambai-lambaikan tangannya dari jauh kepada Irfan. Irfan pada masa itu sudah tidak dapat membezakan mana yang realiti dan mana yang fantasi. Dia mengambil keputusan untuk berjalan terus menuju ke arah 'Alia' bagi mendapatkannya. 'Alia' daripada jauh hanya tersenyum memerhati Irfan yang sedang berjalan laju menuju ke arahnya. Sesekali sinaran rembulan menampakkan wajah 'Alia' yang sangat putih dan pucat. Matanya juga seperti mata Irfan. Hitam tidak menampakkan biji mata.

Irfan pada masa itu perasan bahawa semakin dia berlari mendapatkan 'Alia' semakin jauh 'Alia' daripadanya. Irfan tetap berusaha mendapatkan 'Alia', dia sudah sampai di penghujung koridor namun ketika itu tidak semena-mena 'Alia' terbang terawang-awangan di ruang udara. Irfan tidak sedar yang dia sudah sampai ke penghabisan koridor. Dia berlari laju dan badannya terlanggar tembok penghadang dan terhumban ke hadapan. Buku diari itu terlepas daripada pegangan. Irfan terjatuh dari tingkat 5 dan terhempas kuat ke bawah.

.............................................................

"Saya Supritendan Razak, kami di sini meminta awak bagi kerjasama dan memberi keterangan kepada kami pihak polis berkaitan kejadian ini. Supaya dapat melancarkan lagi perjalanan kami dalam menyiasat kejadian ini" Amar hanya membungkam diam, mungkin masih terkejut dengan pemergian Irfan.

"Waktu itu saya tengah menonton tv sambil makan kerepek, tidak lama selepas itu Irfan keluar berjalan menonong keluar rumah. Dia tidak beritahu saya yang dia hendak ke mana. dalam sepuluh minit selepas itu tiba-tiba saya terdengar bunyi benda terhempas kuat. Sedar-sedar je saya lihat Irfan sudah di atas simen gelanggang badminton tu dengan berlumuran darah. Oh ya, saya perasan yang semasa dia berjalan tu dia ada membawa sebuah buku. Saya tak pasti pula buku apa" Amar memberi penjelasan lanjut.

"Baik terima kasih. Zani, Kamal, Mustafa, kamu semua periksa tempat kejadian, cari dan dapatkan buku yang budak ini cakapkan" Supritendan Razak memberi arahan.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home