Blogger Template by Blogcrowds.


Suasana di Jaya Road pada pagi itu kelihatan sungguh tenang sekali. Langitnya cerah, awannya berkepul-kepul berarak perlahan. Dikiri kanan jalan terdapat beberapa orang pejalan kaki yang sedang berjalan menuju ke tempat kerja masing-masing atau mungkin pergi menikmati udara segar pagi barangkali. Ada yang membawa beg, ada yang singgah membeli kopi, ada mengepit surat khabar dan ada juga yang sedang berborak sesama sendiri sambil berjalan. Begitulah rutin harian di Jaya Road. Jaya Road terletak di pinggir sebuah pekan kecil yang damai dan menenangkan. Di sebelah kiri jalan itu terdapat sederet kedai dan di sebelah kanannya terdapat taman rekreasi. Jika petang hari, ramailah yang akan berkunjung ke situ untuk beriadah dan menghirup udara segar.

Azli menyeluk poket seluarnya dan mengambil kunci. Dia membuka pintu kedainya lalu masuk ke dalam sambil meletakkan surat khabar yang baru dibelinya sebentar tadi di atas meja kaunter. Suis lampu dibuka. Azli mencapai penyapu yang terletak di sudut belakang kedai dan menyapu lantai kedainya dari belakang sehingga ke hadapan. Begitulah rutin hariannya setiap pagi. Azli, 35 tahun. Seorang bapa tunggal. Memiliki sebuah kedai antik yang diwarisi daripada arwah bapanya. Arwah bapanya dulu amat menyukai barang-barang antik. Dia mempunyai banyak koleksi barangan antik yang sangat berharga, penuh satu kedai itu dengan barang-barang antik miliknya. Daripada kamera, syiling lama, radio, tembaga, basikal, peralatan muzik, dan bermacam-macam lagi.

Adakalanya arwah bapanya itu tidak akan menjual barang yang mempunyai nilai seni dan nilai sentimental yang tinggi lantas disimpan sahaja untuk dijadikan koleksi. Azli juga mempunyai minat yang sama dengan bapanya. Semuanya bermula ketika dia berumur 11 tahun. Dia begitu gemar mengumpul setem. Koleksi setemnya pada waktu itu mempunyai pelbagai tahun, jenis dan rupa. Lama kelamaan minatnya itu merebak ke barang-barang antik dan vintaj. Azli mahir dalam menilai dan memahami dunia barang antik. Jika ada waktu terluang, dia rajin ke pelbagai pelusuk tempat hanya untuk mencari barangan antik. Itu bagai satu kepuasan buatnya sebagai peminat tegar barang antik. Baginya, sayang jika barang yang bernilai tinggi ini dibiarkan berhabuk dan terbiar begitu sahaja.

Ada ramai juga yang datang ke kedai Azli untuk menjual barang-barang antik milik mereka. Bagi mereka mungkin barang tersebut sudah tidak dipakai lagi dan hanya memenuhi ruang rumah sahaja. Tetapi tidak bagi Azli. Jika ada barang yang sudah rosak sedikit, Azli akan membaik pulih barang tersebut dan dijual kembali di kedainya. Hobi mengumpul barang lama dan antik merupakan satu hobi yang memerlukan kos tinggi. Namun bagi mereka yang mempunyai minat yang mendalam, wang ringgit bukanlah segala-galanya kerana kepuasan adalah yang utama. Mereka sanggup berhabis hanya untuk memastikan barang itu terpamer indah di ruang rumah mereka. Mereka yang mempunyai hobi tegar ini sahaja yang faham.

..............................................................

Hari itu, Azli didatangi seorang lelaki. Berumur dalam lingkungan pertengahan, fizikalnya sederhana tinggi, memakai jaket bewarna coklat gelap dan berkasut kulit. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai En. Daud. Kedatangannya ke kedai Azli adalah untuk menjual piano lama miliknya. Lori bersaiz sederhana besar milik lelaki pertengahan umur itu diparkir betul-betul di hadapan kedai Azli. Memang Azli sengaja mengosongkan parkir di hadapan kedainya itu untuk memudahkan proses mengangkut dan menurunkan barang. Piano tersebut diturunkan dengan bantuan beberapa orang pekerja Azli. Agak berat. Mungkin material dan kayunya bermutu tinggi memandang piano tersebut adalah piano lama.

Azli terus meneliti piano tersebut. Di atas sebelah kiri badan piano tersebut tertulis jenama Baldwin dan tertera juga tahun keluarannya iaitu 1975. Materialnya diperbuat daripada kayu mahogany, kayu yang sangat bermutu tinggi dan sesuai untuk pembuatan peralatan muzik kerana bunyi yang dihasilkan bagus dan bermutu tinggi. Azli memeriksa bahagian badan piano itu pula, kondisinya semua masih baik lagi kecuali terdapat calar dan satu goresan sedikit di bahagian atasnya. Goresan sepanjang lebih kurang 10 sentimeter itu agak dalam sehingga menampakkan kayu dalam. Bagi Azli itu hal kecil kerana kerosakan itu mudah untuk dibaik pulih.

Lelaki pertengahan umur itu mahu menjual piano tersebut kerana dia sudah tidak menggunakannya lagi. Hal itu agak pelik sedikit bagi Azli kerana jarang pemuzik akan menjual peralatan muzik kesayangan milik mereka. Tapi perkara itu cepat terus dilupakan Azli kerana lelaki itu mahu menjualnya dengan harga yang amat murah. Ya, amat murah bagi sebuah piano klasik bermutu tinggi buatan Amerika keluaran tahun 1975. Piano ini bagaikan pelaburan buat Azli. Dia sudah memikirkan untuk membaik pulihnya sedikit kemudian menjual dengan harga yang lebih tinggi. Tanpa berfikir panjang, Azli terus membayar kepada lelaki tersebut. Lelaki itu tersenyum sebelum beredar pergi.

Piano besar itu diletakkan di bahagian belakang kedainya. Di situ adalah tempat Azli dan dua orang pekerjanya melakukan proses restorasi dan baik pulih barang-barang antik. Banyak barang-barang yang belum siap dibaik pulih. Jadi Azli bercadang untuk meletakkan dulu piano itu di suatu sudut sementara membaikpulih dahulu barang-barang yang lain. Piano Baldwin 1975 yang berwarna hitam itu ditutup kemas oleh Azli dengan kain putih. Dua orang pekerjanya sudah lama balik memandangkan waktu bekerja sudah habis dua jam yang lalu. Azli mematikan suis lampu belakang, sebelum berjalan keluar dari bilik dia sempat merenung sebentar piano besar itu. Teringat kembali sewaktu dia kecil dahulu arwah bapanya selalu mengajarnya bermain piano. Sambil bermain mereka akan menyanyi bersama-sama.

......................................................

Pagi menampakkan cahaya surianya, suasana di Jaya Road kelihatan tenang seperti biasa. Penduduk tempatan sudah mula keluar untuk memulakan hari mereka. Azli menutup pintu kereta lalu berjalan ke kedainya. Sebelum itu dia singgah dahulu ke kedai serbaneka di sebelah kedainya untuk membeli surat khabar. Pemilik kedai itu merupakan rakan sekolah Azli suatu ketika dahulu. Bakhri namanya.

"Lambat kau balik semalam Azli?" Bakhri memulakan bicara

"Lambat? eh tak adalah. Aku balik macam biasa semalam, pukul 6.30 petang" jawap Azli

"eh tak mungkinlah sebab malam tadi aku dengar kau main piano, kedai kita bukan jauh mana. Sebelah je, jadi aku dapat dengar lah kau main piano malam tadi" kata bakhri

Azli tersentak. Wajahnya terus berkerut kehairanan. Otaknya terus ligat berfikir, dia fikir kalau bukan dia jadi siapa kah yang bermain piano lama tersebut? Azli bagai sudah mendapat jawapan. Mungkin dua orang pekerjanya. Dia terus membuka kunci pintu kedai lalu menuju ke bahagian belakang kedai. Tidak lama selepas itu itu dua orang pekerjanya juga baru sampai. Azli lihat pianonya tertutup kemas seperti semalam dia tinggalkan. Kain penutupnya seperti tidak berusik. Dia berpatah balik ke hadapan dan pergi mendapatkan dua orang pekerjanya.

"Sayid, Mus. Kan saya dah pesan jangan usik sebarangan barang-barang di kedai ni. Malam tadi siapa yang main piano dekat belakang tu dan macam mana kamu berdua boleh masuk kedai ni?" Nada Azli tegas. Dua orang pekerjanya itu memang tidak diberikan kunci pendua atas faktor keselamatan.

"Bos, petang semalam lepas kerja kan saya dan Sayid pergi hantar barang dekat bandar? lewat pagi baru kami balik itupun kami terus balik ke rumah" balas Mus dengan tenang

Azli hampir terlupa yang semalam dia mengarahkan dua orang pekerjanya itu pergi ke bandar untuk menghantar barang kepada pelanggan. Maka makin bertambah hairanlah Azli. Hari tu kedai Azli beroperasi seperti biasa. Azli tidak begitu memikirkan sangat hal piano itu. Bagi dia, rakannya Bakhri itu mesti sudah tersalah dengar. Mungkin bunyi piano yang dia dengar itu adalah dari radio berhampiran. Mana mungkin piano boleh berbunyi sendiri, katanya dalam hati.

Pada tengahari itu dia terpaksa ke bandar untuk menguruskan hal di bank. Sepanjang ketiadaannya, dua orang pekerja Azli mengambil tanggungjawab menguruskan hal di kedai. Sayid dan Mus sedang sibuk membuat kerja-kerja membaik pulih barangan. Hari ini giliran piano lama itu pula dibaik pulih setelah dua hari terletak di hujung sudut kedai. Sedang khusyuk melakukan kerja baik pulih, Sayid dan Mus tiba-tiba terhenti. Mereka tergamam. Mereka terdiam apabila terlihat cecair merah pekat seperti darah menitis keluar dari bawah piano.

..............................................................

Azli memandu menyelusuri dingin malam, dia berkira-kira selepas hal di bandar selesai dia ingin terus balik ke rumah. Lagipun jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Awal-awal dia sudah berpesan kepada dua orang perkerjanya itu untuk mengunci pintu kedai setelah tamat waktu bekerja. Hanya untuk hal-hal seperti ini sahaja dia akan memberi kunci pendua kepada pekerjanya itu. Sedang dalam perjalanan tiba-tiba dia teringat yang kunci rumahnya tertinggal di dalam laci kaunter kedainya. Azli mengeluh. Nak tak nak dia terpaksa berpatah balik ke kedai juga.

Suis lampu utama kedai di hidupkan, Azli membuka laci meja kaunter dan mengambil kunci rumahnya. Dia menjenguk masuk sekejap ke bilik belakang tempat membaik pulih barang-barang. Dalam samar-samar cahaya kelihatan piano lama tersebut. Posisi piano itu sudah berubah, tidak berada di sudut lagi. Dua orang pekerja Azli telah mengalihkan piano itu untuk kerja-kerja pembaikan. Azli menggelengkan kepala apablila melihat peralatan tukang agak bersepah di atas lantai tidak jauh dari piano tersebut. Azli tidak skeptikal. Fikirannya hanya pada dua orang pekerjanya itu yang tidak mengemas semula peralatan selepas habis kerja. Kebiasaannya mereka tidak begini, peralatan-peralatan akan dikemas dan diletakkan semula di tempat asalnya.

Azli memandang alat muzik hitam besar di hadapannya itu. Sudah lama dia tidak bermain dan menghayati alunan merdu piano. Azli mengambil kerusi dan duduk menghadap pemetik piano berwarna hitam dan putih itu. Dia meletakkan jarinya dengan kemas di atas papan pemetik dan memainkan melodi dan lagu-lagu indah yang masih diingatinya suatu ketika dahulu. Sewaktu sedang asyik bermain, sudut mata Azli telah menangkap suatu permandangan yang sangat menyeramkan. Di atas pemetik piano itu ada sepasang tangan lain selain tangan Azli yang turut memainkan piano itu. Kulit tangan itu sangat berkedut dan menggerutu, warna kulitnya putih pucat, manakala kukunya hitam dan panjang. Posisi tangan itu berlawanan dengan posisi tangan Azli, maksudnya seperti pemilik tangan itu bermain dari atas piano, tidak bermain duduk seperti Azli.

Pandangan Azli perlahan-perlahan menyusuri tangan yang menyeramkan itu. Ada kain putih panjang yang menutupi bahagian atas tangan dan badan si pemilik tangan. Maka terlihatlah dia akan rambut hitam menggerbang, dagu yang panjang dan sesosok wajah perempuan yang putih pucat dengan matanya hitam terbeliak. Lembaga perempuan yang menyeramkan itu sedang bertenggek di atas piano sambil memandang Azli. Jaraknya hanya beberapa sentimeter dari muka Azli. Azli duduk terpaku, peluhnya laju meluncur. Dalam ketakutan Azli menundukkan mukanya, tetapi lembaga itu masih duduk bertenggek di atas piano dan terus memandang muka Azli. Muka lembaga itu betul-betul di depan muka Azli. Mulutnya menyeringai dengan wajah yang marah.

Azli ketakutan dan terus berlari keluar dari kedai, lalu menuju ke keretanya. Pintu kereta ditutup, enjin kereta dihidupkan. Sempat juga dia menoleh ke kedainya. Lembaga perempuan itu masih duduk membongkok di atas piano sambil memandang Azli. Bagai lipas kudung, Azli menekan kuat pedal minyaknya dan memecut pergi dari situ. Semasa di dalam perjalanan pulang, Azli membuka telefon bimbitnya yang telah di set kan dalam mode senyap. Notifikasi menunjukkan ada sepuluh panggilan yang tidak berjawab, dan satu mesej yang tidak di buka. Panggilan dan mesej itu datangnya daripada pekerjanya, Sayid dan Mus. Azli berdebar dan membuka mesej tersebut.

"Bos, jangan balik ke kedai sekarang dan jangan sentuh piano tu!"

Mesej yang pendek dan ringkas tapi penuh dengan maksud. Namun sudah terlambat untuk mesej itu memberi amaran kepada Azli. Sampai sahaja di rumah, Azli yang masih dalam terketar-ketar terus menelefon lelaki yang menjual piano itu kepadanya 4 hari lepas, iaitu En. Daud. Lelaki itu akhirnya berterus terang kepada Azli berkenaan cerita misteri disebalik piano lama tersebut. Pada suatu masa dahulu piano itu dimiliki oleh seorang perempuan cantik, dia amat mahir bermain piano dan sering mengadakan persembahan-persembahan pentas. Pada suatu malam perempuan itu didatangi oleh seorang peminat lelakinya. Peminat yang sangat fanatik dan terlalu meminati si pemain piano cantik. Peminat lelaki itu telah datang ke rumah perempuan itu dan mahu menculik serta merogolnya.

Mereka berdua bergelut di atas piano dan secara tidak sengaja lelaki tersebut hilang kawalan lalu menghentak kepala perempuan itu dengan pasu kaca. Darah membuak-buak keluar dari muka dan kepala si perempuan, membasahi sebahagian piano tersebut. Perempuan itu telah mati serta merta di atas piano. Calar dan goresan di atas piano itu adalah kesan daripada pergelutan mereka berdua. Sejak dari itu piano tersebut seakan-akan bernyawa, ramai pemilik-pemilik selepas itu telah melihat pemetik piano itu berjalan dengan sendiri. Ada masa mereka akan ternampak bayang seorang perempuan sedang duduk dan bermain piano tersebut. Pada setiap malam piano itu juga akan berbunyi sendiri memainkan melodi-melodi sedih. Oleh sebab itu piano tersebut sering bertukar-tukar pemilik kerana tidak tahan dengan gangguan yang sangat menyeramkan.

Azli tergamam mendengar penjelasan daripada En. Daud. Keesokan harinya dia mengangkut piano tersebut menggunakan lori dan membuangnya ke tempat pelupusan sampah.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home