Skip to main content

Malay Creepypasta: Misteri Admin Ketiga


Kisah seram malam ini kami menggunakan nama dan watak sebenar, iaitu kami sendiri Admin Pensel Studio. Di sini kami beri anda sedikit gambaran tentang bagaimana kami berdua bergilir-gilir menyiarkan kisah seram masing-masing. Kekeringan idea itu biasa. Cerita ini juga kami tulis setelah mendapat idea daripada situasi kami yang tiada idea. (haha) Namun begitu jalan cerita kisah seram ini hanyalah rekaan semata-mata.

Beg kerjanya dicampak ke atas katil, dia yang kepenatan terus menghidupkan komputer, menarik kerusi lalu duduk termenung di hadapan komputernya itu. Jari-jemarinya diletakkan di atas papan kekunci. Lagaknya seperti mahu menaip sesuatu, tetapi jarinya tetap pegun di atas papan kekunci itu. Fail 'Word' yang dia buka tadi sudah sepuluh minit terbiar kosong, sama seperti keadaan otaknya yang juga kelihatan kosong ketika itu. Telefon bimbit dicapai dan dia menaip sesuatu di skrin telefon. Kelihatannya seperti sedang menaip teks Whatsapp untuk seseorang.

"Aku tak ada idea nak tulis apa lah malam ni Syahir. Lagipun aku banyak sangat kerja design tak siap lagi ni" - Fiq

"Lah, kenapa pulak? Semalam dah giliran aku, tak kan malam ni aku jugak? Kan kita dah janji nak post kisah seram tu gilir-gilir." - Syahir

"Memanglah, tapi nak buat macam mana kalau dah tak ada idea? Tak kan aku nak tulis kisah Sang Kancil dengan Buaya pulak?" - Fiq

"Kesian lah dekat pembaca-pembaca kita tu malam ni tak ada kisah seram baru diorang nak baca. Tengoklah nanti macam mana. Kalau aku ada masa aku backup giliran kau malam ni." -Syahir

Teks terakhir Syahir disertakan sekali dengan emoji gambar muka marah yang berwarna merah. Fiq tersenyum sinis, dia tahu sahabat baiknya itu sedang marah. Fiq tahu Syahir juga sibuk dengan kerjanya di pejabat, begitu juga dengan dia. Jadi ada satu masa memang mereka berdua akan kekontangan idea untuk menulis kisah-kisah seram yang akan di post di page Facebook khas mereka. Page itu Syahir dan Fiq buat khas untuk mereka berdua kongsikan kisah-kisah seram yang mereka tulis dan ada juga mereka dapat dari sumber lain. Mereka berdua merupakan sahabat baik sejak dari di Uitm Shah Alam lagi. Daripada zaman rumah sewa Seksyen 7 sehinggalah kini mereka masih rapat dan berkongsi minat yang sama.

Letih di pejabat tadi tidak hilang lagi, Fiq mengalihkan begnya yang diletak di atas katil tadi untuk dia berbaring di situ. Mungkin dengan tidur sekejap idea akan mencurah-curah masuk ke kepala, ujarnya dalam hati. Sebenarnya itu hanyalah alasan. Fiq terus tertidur dibuai ke alam mimpi. Idea entah kemana. "Tok, tok tok!" "Bangunlah, Maghrib!" Fiq terjaga dari lamunan. Bunyi ketukan pintu bilik dan suara itu Fiq sudah begitu hafal. Masanya sentiasa tepat dan jitu. Kalau tidak dikejutkan oleh ibunya itu mahu sampai ke tengah malam dia tertidur. Fiq mengemas meja komputernya yang berselerak. Keyboard nya terbalik, buku-buku berselerakan. Dia tahu bahawa itu sudah pasti kerja anak-anak buahnya petang tadi sewaktu dia sedang lena tidur. Dalam sedang terlena Fiq sebenarnya terdengar bunyi anak-anak buah dia bermain menaip di keyboard. Fiq teus melangkah longlai ke bilik mandi.

Sudah menjadi kebiasaan tepat pukul 8 malam mereka berdua akan bergilir-gilir menyiarkan kisah-kisah seram untuk bacaan pembaca-pembaca mereka di Facebook. Malam ni sepatutnya giliran Fiq, tetapi diganti oleh Syahir berdasarkan perjanjian di Whatsapp antara mereka berdua petang tadi. Namun dalam seminggu ada kalanya mereka hanya menyiarkan kisah seram dua atau tiga kali sahaja atas sebab kesibukan bekerja dan juga kekeringan idea. Biasanya Fiq dan Syahir pasti berasa terkilan apabila membaca komen-komen pembaca yang bertanyakan kisah seram terbaru. Jadi pada malam itu tepat pukul 8 malam, Fiq membuka page Facebook untuk membaca kisah seram yang dihasilkan oleh Syahir. Fiq kelihatan begitu khusyuk membaca cerita itu.

"Fuh, selalu memang seram tapi malam ni seram betul ni!" Fiq berkata sendirian selepas membaca kisah seram daripada Syahir. Tidak pernah bulu romanya tegak meremang sebegitu sekali selepas membaca tulisan Syahir. Malam itu Syahir menulis kisah seram tentang seorang lelaki yang didakwa oleh orang kampung sebagai jelmaan syaitan kerana kerana boleh memusingkan kepalanya sehingga 360 darjah. Watak lelaki itu menurut Syahir suka menganggu penduduk-penduduk kampung pada setiap malam dengan berterbangan dari bumbung rumah ke bumbung rumah. Fiq terus mencapai telefon bimbitnya. Dia menaip sesuatu kepada Syahir.

" Pehh, best gila cerita kau malam ni!" - Fiq

"Cerita apa?" - Syahir

"Cerita yang kau post tadi tu la, buat-buat tak tahu pulak." - Fiq

"Hey Fiq, aku dekat office lagi ni. Aku tak sempat pun nak tulis cerita untuk malam ni. Nak online Facebook pun aku tak sempat. Aku tak tahu cerita apa yang kau cakapkan ni." - Syahir

"Ececeh, buat jenaka pulak kau malam ni. Tapi betul lah, memang best dan seram gila cerita kau tulis tu." Fiq

"Aku tak tulis cerita tu lah gila! Dah lah aku banyak kerja lagi nak siapkan ni." Syahir

Syahir menghabiskan ayatnya di situ. Fiq termenung sendirian. Dalam hatinya berkata, adakah betul apa yang dikatakan Syahir itu. Fiq cuba baca dan amati semula cerita seram itu, nampak gaya memang ternyata bukan seperti Syahir yang tulis. Gaya bahasa dan metaforanya bukan seperti hasil Syahir, malah bukan juga seperti hasil penulisan Fiq. Fiq berasa hairan, otaknya laju berfikir dan berbagai-bagai persoalan yang bermain di fikirannya malam itu. Jika bukan dia dan Syahir yang tulis habis siapa? Setahunya admin page Facebook itu hanya dia berdua sahaja bersama Syahir. Adakah Syahir sudah mengubah gaya bahasa dan penulisannya? Adakah Syahir sudah merekrut admin baru? Belum sempat otaknya menjamah persoalan-persoalan itu telefonnya berbunyi. Notifikasi teks masuk.

"Fiq, aku dah baca cerita tu. Memang lain. Aku rasa bukan kau yang tulis. Kau ada bagi siapa-siapa jadi admin facebook kita ni ke?" - Syahir

"Mana ada. Aku baru nak tanya kau soalan yang sama. Entah-entah kau terlupa agaknya kau ada tambah admin baru." - Fiq

"Ish, tak ada lah. Kita berdua je lah admin. Entah-entah kau ni suka tak log out Facebook agaknya." - Syahir

"Tak mungkinlah! Mustahil. Benda-benda penting macam ni biasanya aku akan peka." - Fiq

Tiba-tiba fiq teringat petang tadi sewaktu dia bangun daripada tidur, meja komputernya bersepah seperti baru sahaja ada orang menggunakannya. Tidak mungkin anak buahnya yang baru berumur 6 tahun itu pandai menulis cerita hantu yang sangat menyeramkan itu? Lagipun, bil internet fiq masih belum bayar lagi jadi tiada siapa yang dapat menggunakan komputernya itu untuk mengakses internet. Fikiran Fiq makin bercelaru. Dalam kecelaruan itu Fiq bersiap untuk keluar minum bagi meneutralkan fikirannya. Esok hari sabtu, biasanya Fiq akan keluar minum di mamak bersama rakan-rakannya hingga lewat pagi.

Sewaktu hendak mengundurkan kereta, Fiq terlupa untuk mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja biliknya tadi. Tanpa mematikan enjin, dia bergegas masuk kembali ke dalam rumah. Fiq yang kebetulan keseorangan malam itu tiba-tiba terdengar bunyi seperti bunyi orang berjalan di dalam biliknya. Kemudian terdengar pula bunyi seperti orang sedang menaip di komputer! Fiq yang curiga terus memusingkan tombol pintu dan membuka bilik perlahan-lahan. "Zupp!" Dia terkejut apabila terlihat seperti ada lembaga hitam sedang melintas laju di hadapannya saat pintu bilik terbuka. Fiq mencapai telefon bimbit di atas meja lalu dengan langkah seribu dia terus berlari keluar rumah dan menuju ke kereta. Agak berpeluh mukanya malam itu walaupun penghawa dingin dipasang maksimum.

..............................................................

Syahir membuka pintu rumah, kucing-kucing belaannya berlari meluru ke arahnya. Penat dan letih Syahir hilang apabila melihat kucing-kucingnya yang comel itu datang bermanja kepadanya. Dia masuk ke bilik dan merebahkan badannya untuk seketika. Sambil itu dia membaca semula kisah seram yang telah disiarkan di page Facebook sebentar tadi. Yang bukan ditulis oleh dia dan juga Fiq. Masih tidak dapat diketahui siapakah penulisnya. Daripada segi penceritaan, kisah seram itu memang meninggalkan kesan yang mendalam oleh kerana plot, gaya bahasa, dan elemen suspensnya yang hebat. Si penulis seperti pernah mengalami sendiri situasi seram tersebut. Syahir mula menghadam satu persatu plotnya. Sedang dia asyik khusyuk membaca tiba-tiba dia terdengar bunyi kucingnya mengiau kuat. Syahir biarkan sahaja. Mungkin kucing-kucingnya sedang bergaduh berebutkan Friskies.

Makin lama makin kuat pula bunyi kucingnya mengiau. Syahir mula berasa hairan. Dalam masa yang sama terdengar pula bunyi seperti keyboard komputer ribanya di tekan-tekan. Komputer ribanya itu diletakkan di ruang tamu. Mungkin salah seekor kucing sedang bermain di atas komputer ribanya, manakala kucing yang lain mengiau kepada kucing tersebut. Syahir cuba membuat kesimpulan pantas. Tetapi, ada hal yang membuatkan Syahir berasa aneh. Bunyi itu seperti bunyi ada seseorang yang sedang menggunakan komputer ribanya. Bunyi orang sedang menaip! Syahir yang curiga dengan bunyi itu terus bingkas bangun dan menuju ke ruang tamu. Dari celah pintu bilik dia terlihat kedua-dua ekor kucingnya sedang memandang ke atas dan mengiau ke arah sesuatu. Sebaik pintu bilik di buka Syahir terkejut apabila terlihat ada suatu benda melintas dihadapannya lalu menuju ke luar rumah. Kejadian itu amat pantas, dia tidak nampak siapakah pemilik bayang-bayang itu.

Syahir menaip sesuatu kepada fiq.

"Aku rasa pelik lah malam ni Fiq." - Syahir

"Kau dengar bunyi orang tengah menaip jugak ke?" - Fiq

"Huh?! Macam mana kau tahu?" - Syahir

"Sebab aku pun dengar benda yang sama tadi" - Fiq

Syahir semakin kehairanan. Adakah ini suratan atau kebetulan, katanya di dalam hati yang berperasaan bercampur baur. Malas memikirkan lanjut tentang perkara itu, Syahir menghabiskan perbualannya dengan menyuruh Fiq datang ke rumahnya malam ini bagi membincangkan projek filem pendek terbaru mereka. Skrip sudah di tulis oleh Syahir tetapi penamatnya belum ada lagi. Mungkin malam ini mereka akan memikirkan bersama-sama penamat apa yang sesuai untuk skrip filem pendek tersebut.

Fiq sampai ke rumah Syahir pada pukul 12.35 malam, ketika itu Syahir sedang menonton televisyen sambil menunggu kedatangan Fiq. Kelihatan di atas meja ruang tamunya terletak sebuah komputer riba yang sedang terpasang manakala di sekelilingnya terdapat beberapa helai kertas skrip dan buku nota kecil. Fiq duduk bersandar di sofa ruang tamu sambil memikirkan sesuatu. Keadaan di rumah itu tiba-tiba bertukar sunyi sepi. Fiq diam, Syahir juga diam. Bagai ada sesuatu yang terbuku di benak fikiran mereka. Sebenarnya mereka berdua mempunyai soalan yang sama untuk ditanya kepada satu sama lain.

"Kau rasa kejadian tadi tu ada kaitan ke dengan kisah seram dekat Facebook kita malam ni?" Fiq cuba memulakan bicara apabila melihat Syahir masih terdiam membisu.

"Aku tak tahu. Mungkin iya dan mungkin tidak. Tapi kejadian yang kita alami tadi hampir sama! Mungkin ada kaitan" Jelas Syahir

"Ish seram lah aku macam ni, tiba-tiba pulak muncul kisah seram baru dekat Facebook tu! Entah siapa tah yang tulis." Kata Fiq yang sudah meremang.

Malam itu mereka tidak membincangkan sangat pun berkenaan projek filem pendek mereka tetapi perihal kejadian misteri itu yang banyak mereka bincangkan. Syahir cuba berfikiran positif dengan mengatakan ada orang yang telah menceroboh masuk akaun Facebook mereka itu. Bagi Fiq hal itu boleh juga masuk akal tetapi bagaimana dengan kejadian aneh yang mereka nampak sebelum tadi? Siapakah agaknya yang sedang menaip itu? Hal itu terus membawa mereka ke lembah teka-teki semula. Fiq berpendapat kejadian aneh itu hanyalah kebetulan dan memang benar mungkin ada orang yang telah mencoroboh masuk ke page Facebook mereka. Mereka seperti hampir menemui jalan penyelesaian, mungkin keselamatan harus di perketat selepas ini.

"Kejap weh, tak tahan. Nak pegi tandas kejap." Fiq bangun dan menuju ke tandas bersebelahan dapur rumah Syahir.

(5 minit selepas itu)

Fiq keluar dari tandas dan dia terdengar bunyi seseorang sedang menaip di komputer riba di ruang tamu. Fiq tahu Syahir yang sedang berada di ruang tamu itu dan sedang menaip skrip untuk penamat filem pendek mereka.

"Wah Syahir, cepat betul kau dapat idea buat skrip tu eh?" Kata Fiq sambil berdiri sebentar di hadapan sinki tandas untuk mencuci muka.

"Kalau iya pun tunggulah aku, kata nak bincang sama-sama. hehe" Kata Fiq lagi

"Psstt! Pssstt! Fiq! Aku dekat sini lah woi!" Bisik Syahir kepada Fiq yang berada tidak jauh di sebelahnya. Ketika itu Syahir rupa-rupanya berada di dapur untuk menjerang air. Syahir sudah dari tadi terdengar bunyi orang menaip itu ketika dia berada di dapur. Habis siapa yang berada di ruang tamu dan sedang menaip?

"Aduhh seramnya aku macam ni! Siapa pulak yang ada kat ruang tamu tu weh!" Fiq terus mengundurkan badannya dan menyorok di tepi peti ais.

"Jom lah, kita tengok sama-sama. Rumah aku ni woi, kalau dibuatnya perompak macam mana??" Syahir mengajak Fiq yang sudah dalam ketakutan itu untuk melihat sama.

"Kalau dah tahu nak merompak nak buat apa menaip depan laptop lagi? Aduhh kau pergi la tengok sorang" Fiq sudah terketar-ketar ketakutan.

Belum sempat dia melayan keseramannya itu Syahir sudah menariknya ke hadapan untuk melihat siapa yang sedang menaip di komputer riba itu. Mereka mengintai perlahan-lahan dari balik dinding antara ruang tamu dan dapur. Nafas mereka sudah turun naik dan berdebar-debar untuk menerima apa sahaja benda atau orang atau mahkluk yang bakal berada di hadapan mereka ketika itu. Syahir dan Fiq terkejut apabila melihat ada seorang lelaki sedang duduk di sofa yang membelakangkan mereka. Apa yang mereka dapat lihat adalah sebahagian belakang badan lelaki itu dan juga kepalanya. Lelaki itu sedang menaip di komputer riba milik Syahir.

"Weh, lelaki tu siapa, abang kau ke??" bisik Fiq kepada Syahir

"Mana ada, abang aku outstation lah! Lagipun mana ada fizikal abang aku macam tu" jawab Syahir sambil menjenguk-jenguk dari bahu Fiq.

"Kau pergi lah tegur dia, berani pulak dia masuk rumah orang malam-malam macamni!" Fiq mengarah Syahir

"Okay, kita sergah sama-sama!" jawab Syahir

Belum sempat Syahir dan Fiq menyergah, lelaki tersebut telah terlebih dahulu memusingkan kepalanya perlahan-lahan kebelakang sebanyak 180 darjah! Mukanya kelihatan sangat hodoh. Seperti baru lepas ditimpa kemalangan ngeri. Dengan darah meleleh-leleh di sana-sini dari celah mata dan mulut. Mata kirinya sudah terjojol keluar dan tergantung-gantung di pipi. Lelaki yang menakutkan itu membuka mulut, rahangnya terbuka luas seperti sudah terjatuh dari tulang muka..

"Sebab korang tak nak post kisah seram, jadi biarlah aku yang post! hahahahahahahahah!!!!!"

Syahir dan Fiq terus kelam kabut meluru keluar mengikut pintu dapur!

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

Comments

Popular posts from this blog

A Wish Come True (A Short Story)

I woke up with a start when I found myself in a very unfamiliar place. The bed I was lying on was grand—an English-quilting blanket and 2 soft pillows with flowery laces. The whole place was fit for a king! Suddenly the door opened and there stood my dream prince: Katsuya Kimura! I gasped in astonishment for he was actually a cartoon character. I did not know that he really exist. “Wake up, dear,” he said and pulled off the blanket and handed it to a woman who looked like the maid. “You will be late for work.” “Work?” I asked. “Yes! Work! Have you forgotten your own comic workhouse, baby dear?” Comic workhouse?! I…I have became a cartoonist? That was my wildest dreams! Being a cartoonist! I undressed and changed into my beige T-shirt and black trousers at once and hurriedly finished my breakfast. Katsuya drove me to the workhouse. My, my, was it big! I’ve never seen a bigger place than this! Katsuya kissed me and said, “See you at four, OK, baby?” I blushed scarlet. I always wan...

Hans and Hilda

Once upon a time there was an old miller who had two children who were twins. The boy-twin was named Hans, and he was very greedy. The girl-twin was named Hilda, and she was very lazy. Hans and Hilda had no mother, because she died whilst giving birth to their third sibling, named Engel, who had been sent away to live wtih the gypsies. Hans and Hilda were never allowed out of the mill, even when the miller went away to the market. One day, Hans was especially greedy and Hilda was especially lazy, and the old miller wept with anger as he locked them in the cellar, to teach them to be good. "Let us try to escape and live with the gypsies," said Hans, and Hilda agreed. While they were looking for a way out, a Big Brown Rat came out from behind the log pile. "I will help you escape and show you the way to the gypsies' campl," said the Big Brown Rat, "if you bring me all your father's grain." So Hans and Hilda waited until their father let them out, ...

I've Learned...

Written by Andy Rooney, a man who had the gift of saying so much with so few words. Rooney used to be on 60 Minutes TV show. I've learned.... That the best classroom in the world is at the feet of an elderly person. I've learned.... That when you're in love, it shows. I've learned .... That just one person saying to me, 'You've made my day!' makes my day. I've learned.... That having a child fall asleep in your arms is one of the most peaceful feelings in the world. I've learned.... That being kind is more important than being right. I've learned.... That you should never say no to a gift from a child. I've learned.... That I can always pray for someone when I don't have the strength to help him in any other way. I've learned.... That no matter how serious your life requires you to be, everyone needs a friend to act goofy with. I've learned.... That sometimes all a person needs is a hand to hold and a heart to understand. I...