Showing posts with label Malay Lits. Show all posts
Showing posts with label Malay Lits. Show all posts

Saturday, September 19, 2009

Tangisan Kekasih (A Malay Poem)


Ku sangkakan
Kita akan bahagia
Selama-lamanya
Ku sangkakan
Apa yang telah ku buat
Dapat berjalan dengan lancarnya

Tetapi
Tak ku sangkakan
Rupanya dirimu sudah dimiliki
Rupanya dalam hatimu bukannya aku sendiri
Ah!
Tak ku sangkakan
Selama ini
Kamu membohongi diriku!

Alangkah sedihnya
Alangkah lukanya
Bahkan panah menghancurkan jantungku
Darahnya menitis seperti hujan
Yang membanjiri rohku

Namun
Segalanya dah terlewat
Ku hanya terdaya
Mengucapkan
Semoga dirimu bahagia selamanya…

Sahabatku (A Malay Poem)


Sahabatku
Seperti kakakku sendiri
Yang menjadi pendorongku
Yang tidak pernah jemu
Untuk mengharungi cabaran hidupku

Sahabatku
Kaulah tulang belakangku
Apabila ku tak dapat bangun
Dari kesilapanku
Kaulah semangatku
Apabila ku rasa buntu

Sahabatku
Senyumanmu dan air matamu
Telah ku lihat dan capai
Suka dan dukamu
Telah pun ku rasai
Tapi kenapa?
Kenapa tidak diizinkan
Kita bersama-sama
Ketika ini
Ketika itu
Ketika untuk selama-lamanya

Sahabatku
Akanku hargai sumbanganmu
Akanku terima
Untuk selama-lamanya…

Rayuan Seorang Anak (A Malay Poem)


Hidupku
Seperti anak kehilangan ibu
Seperti anak termasuk jalan buntu
Bahkan bumi yang tidak berpenghuni
Betapa seksa diriku ini

Selama ini
Tiada sesiapa pun memahamiku
Tiada sesiapa pun yang memperdulikanku
Ah! Bencinya
Hatiku tak puas!
Hatiku tak bebas!
Hatiku cuma selama ini dibalut
Penderitaan

Tolonglah, bantulah
Berikanlah aku secebis kasih saying
Berikanlah aku kegembiraan
Berikanlah aku keindahan
Belaian kasih

Agar
Redalah api kesunyian
Yang membara di dalam hidupku
Agar aku dapat hidup dalam kedamaian

Sunday, September 13, 2009

Jualan Penghabisan Stok (A Malay Story)

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Kami tergesa-gesa mengemaskan buku-buku sekolah kami dan berdoa agar guru kelas kami meninggalkan kelas dengan segera. Setelah mengucapkan terima kasih kepada guru kami, kami berebut-rebut keluar dari kelas menuju ke pagar sekolah.

Sebaik sahaja di situ, kereta ibu saya sedia menunggu. Apabila saya memasuki keretanya, ibu saya mengarahkan saya menyimpan beg di bawah tempat duduk saya. Walaupun masih tertanya-tanya, saya mematuhi arahannya.

“Kenapa pula saya perlu menyimpan beg di bawah, mak? Ada apa-apa tujuan tertentu?” Saya bertanya kepada ibu saya dengan persaan hairan.

“Bacalah ini,” ibu saya menghulurkan saya sekeping risalah. Di atasnya tercetak huruf-huruf tebal yang besar dan berwarna-warni.

“‘Jualan Penghabisan Stok di Pasar Raya Seri Hebat’,” saya membaca tajuk besarnya, “eh, mak! Pasar Raya Seri Hebat nak mengadakan jualan penghabisan stok? Mengapa, mak? Perniagaan mereka tidak lariskah?”

“Buakn begitu, Jo. Pasar raya itu hendak digantikan dengan sebuah kondominium yang baru supaya keluarga-keluarga orang berada yang tinggal jauh dari sekolah awak itu boleh berpindah ke situ, dan kawan-kawan awak itu tidak perlulah bangun awal-awal untuk pergi ke sekolah. Lagipun pihak pengurusan pasar raya itu mempunyai rancangan yang lain untuk masa depan syarikatnya, jadi jualan ini diadakanlah,” jelas ibu saya dengan panjang lebar.

“Oh, jadi mak nak saya simpan beg di bawah ni supaya boleh memuatkan barangan yang kita bakal belilah?” Saya bertanya setelah mengetahui perkara sebenar. Saya amat masak dengan perangai ibu saya. Salah satu hobi ibu saya ialah membeli-belah dan jualan seperti ini tidak akan lari dari pandangannya.

Setibanya di Pasar Raya Seri Hebat, kami amat terkejut apabila melihat tempat meletak kereta telah penuh. Kami bernasib baik kerana salah satu kereta di situ bersedia untuk beredar. Ada juga kereta-kereta yang terpaksa diletakkan di tepi-tepi jalan raya dan di tepi bangunan pasar raya tersebut. Kebanyakan orang di situ datang bersama ahli-ahli keluarga yang lain. Orang-orang tua juga tidak terkecuali. Kami terpaksa berjalan perlahan-lahan sebelum memasuki pintu pasar raya kerana terlalu ramai orang yang keluar masuk dengan cepat.

Di dalam pasar raya tersebut, keadaan di sekeliling riuh-rendah dan hingar-bingar. Setiap bahagian, sama ada di bahagian pakaian, makanan, alat-alat permainan, alat-alat elektrik, pusat-pusat penjualan video dan VCD serta kedai-kedai buku dipenuhi dengan orang. Mereka membelek-belek muka surat buku, mencuba baju, membeli makanan, memilih pita lagu yang diminati dan bermacam-macam lagi gelagat mereka. Ibu saya membenarkan saya membeli-belah sendiri dengan syarat tidak membeli barangan yang terlalu mahal dan mesti menunggunya di bahagian kedai makan. Saya dibekalkan dengan wang kertas lima puluh ringgit dan dibiarkan keseorangan.

Saya mengambil keputusan membeli-belah di bahagian kedai buku dan alat-alat tulis kerana ada banyak lagi barangan yang penting untuk kegunaan sekolah yang saya belum belikan. Sepanjang perjalanan saya, saya ternampak banyak peristiwa yang melucukan. Ada yang terjatuh ketika berebut-rebut memasuki suatu kedai, ada yang bertikam lidah dan berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dan ada juga pmebantu kedai yang terpaksa melayan lebih daripada dua pelanggan dalam masa yang sama. Ada pula yang berebut-rebut membeli tisu tandas dan pembantu-pembantu kedai terpaksa berdiri di atas timbunan tisu tandas dan membunagkan tisu tersebut ke bawah untuk dicapai pelanggan-pelanggan yang berkerumun di bawah timbunan tersebut. Di bahagian perabot juga tidak kurang orang yang berkunjung ke situ, memilih meja yang sesuai, memuji kecantikan kerusi sofa dan menguji kelembutan tilam sebuah katil. Kebanyakan pelanggan yang keluar dari kedai-kedai tersebut membawa beg-beg plastik yang besar dan banyak.

Apabila saya sampai di kedai buku dan alat-alat tulis tersebut, kelihatan ramai orang, kebanyakannya pelajar, berkerumun di situ. Saya terpaksa bertindak cepat untuk mendapatkan buku graf, kertas kajang, pen, buku lejar dan bahan-bahan keperluan sekolah yang lain kerana barangan tersebut boleh habis dengan sekelip mata sahaja. Saya juga terpaksa memaksa diri saya bergerak dengan cepat di dalam keadaan sesak dan berhimpit-himpit itu untuk mencapai buku-buku komik yang saya ingin belikan. Saya turut bertindak merampas buku komik kesayangan saya yang merupakan keluaran terbaru serta stok yang terakhir daripada tangan seorang pelajar, tetapi dalam keadaan yang sesak dan dipenuhi dengan orang ramai, dia tidak dapat mengesan saya. Setelah keluar dari kedai tersebut dan melihat beg-beg plastik di tangan saya, barulah saya sedar keadaan saya tadi tidak ubah seperti pelanggan-pelanggan lain.

Ibu saya agak terkejut dengan beg-beg plastik yang ada di tangan saya apabila saya singgah di kedai makan yang dikatakan oleh ibu saya sebelum itu. Saya bernasib baik kerana baki wang saya masih banyak lagi disebabkan barangan yang saya beli semuanya murah-murah belaka, jika tidak ibu saya pasti akan berleter. Apabila dia baru sahaja hendak membuka mulut untuk mengatakan sesuatu, saya menjeling ke arah beg- beg plastiknya yang bilangannya dua kali ganda daripada saya, barulah ibu saya tersipu-sipu dan membatalkan hasratnya. Kami terpaksa menunggu agak lama untuk memesan makanan kerana pelanggan-pelanggan di situ agak ramai, menyebabkan suasana kedai tersebut bising dengan perbualan kosong dan bunyi ketawa mereka yang boleh didengar sehingga ke hujung kedai.

Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, tidak hairanlah sekiranya di bahagian tempat duduk belakang kereta, termasuk bonet kereta, dipenuhi dengan beg plastik dan tidak hairan juga sekiranya ayah saya tergamam dengan muatan kereta tersebut. Ibu saya berkata bahawa jualan tersebut akan berakhir dua hari lagi, maka sepanjang dua hari tersebut, saya terpaksa mengikut ibu saya membeli-belah dan mengangkat beg-beg plastik yang lebih berat daripada berat badan sendiri. Dan sepanjang dua hari itu, saya dibekalkan wang ringgit lima puluh dan barangan yang saya lama idamkan itu telah berjaya dicapai.

Pada hari terakhir jualan tersebut, bilangan pelanggan dan barangan yang dijual di pasar raya tersebut surut secara mendadak. Kebanyakan kedai di pasar raya tersebut kosong, yang ada hanyalah sampah-sarap kecil yang ditinggalkan oleh pelanggan yang berkunjung ke situ. Saya berasa agak kagum dengan hasil jualan pasar raya tersebut yang tidak pernah berlaku di mana-mana pasar raya yang lain. Keesokan harinya, pintu pasar raya itu digantungkan papan tanda ‘Tutup’.

Ekspedisi Berakit Yang Hebat (A Malay Story)


Jantung kami berdebar-debar apabila Cikgu Sidek melangkah masuk ke dalam kelas 5 Cemerlang, tempat perjumpaan Kelab Rekreasi kami. Suasana menjadi hening seketika dan kami menarik nafas apabila Cikgu Sidek mengeluarkan kertas berwarna putih salji itu.

“Baiklah, pelajar-pelajar semua,” suara Cikgu Sidek memecah keheningan, hampir membuat kami tersentak, “di sini adalah senarai nama bagi mereka yang layak menyertai ekspedisi berakit di Taman Kinabalu pada cuti persekolahan ini bersamaan dengan…” ‘Ceramah’nya yang meleret-leret memaksa kami mendesak Cikgu Sidek untuk mengumumkan nama secepat mungkin.

Satu demi satu, nama-nama rakan seperjuangan saya dipanggil dan diarah berdiri di hadapan kelas. Apabila nama saya dipanggil, saya meloncat kegembiraan sambil bersorak seperti perserta yang telah menjawab soalan yang betul dalam rancangan ‘Who Wants To Be A Millionaire’. Rakan-rakan saya yang lain yang tidak disebut nama mereka menyindir saya dari belakang. Saya tidak kisah. Yang penting, saya terpilih dalam ekspedisi berakit ini. Biarlah mereka mengata saya.

Pada hari yang dinanti-nantikan itu, kami semua berkumpul di pagar sekolah untuk menunggu bas sewa yang bkal menghantar kami ke Taman Kinabalu. Cikgu Sidek mengingatkan kami untuk kali ketiga supaya kami berkelakuan sopan dan jangan bertindak sebelum diarah oleh pembimbing kami. Kami mengiakan sahaja nasihat Cikgu Sidek kerana jika tidak, basahlah telinga kami dengan ‘ceramah’nya yang bolah meleret sehingga matahari terbenam. Setelah menunggu selama 20 minit, bas sewa dari Syarikat Emaskini itu tiba di pagar sekolah tepat berhadapan dengan kami. Cikgu Sidek, yang bersikap berhati-hati, memastikan kehadiran kami.

“Semua hadir?” Suaranya membelau hingga hujung bangunan sekolah.

“Sudah, cikgu. Cukup lima belas orang,” Vicky, pengerusi Kelab Rekreasi kami menjawab.

“Semua sudah sedia?”

“Sedia!” Kami berteriak serentak.

“Naiklah bas sekarang!”

Kami semua pun berebut-rebut untuk berbaris di hadapan. Semuanya tergesa-gesa ingin menaiki bas dan singgah ke destinasi kami. Di sepanjang perjalanan, ada yang berbual kosong, ada yang tidur, ada yang membaca buku komik dan ada pula yang menyanyi sambil mendengar ‘walkman’ yang dibawanya.

Akhirnya pada pukul 8.30 pagi, kami sampai ke Taman Kinabalu. Cuaca di situ agak dingin walaupun matahari sudah tinggi di atas langit. Kedatangan kami disambut oleh majikan hotel yang bernama En. Sulaiman, dan dia diiringi oleh dua orang pengangkat bagasi. En. Sulaiman berkata bahawa pembimbing ekspedisi berakit kami akan datang pada keesokan harinya. Kami mengeluh tanda hampa.

“Tapi sebelum itu, kamu semua dibenarkan menggunakan segala kemudahan yang kami ada. Buatlah seperti rumah sendiri.”

Kata-kata En. Sulaiman itu meriangkan hati kami sedikit. Saya dengan rakan-rakan saya Vicky, Damon dan Nefer-Teen menghabiskan masa menerokai hotel yang besar dan serba mewah ini. Patutlah mahal sangat yuran yang kami perlu bayar kali ini! Kalau bukan kerana saya anak tunggal dalam keluarga saya, sudah pasti saya akan terlepas peluang untuk menikmati segala yang ada di sini.

Pada keesokan harinya, kami dikejutkan oleh Cikgu Sidek dan diarah menyiapkan diri sebelum pergi ke tempat berakit itu. Boleh roboh bilik air itu jika Cikgu Sidek tidak mengawal keadaan kami yang ingin cepat bersiap untuk memulakan ekspedisi tersebut. Selepas bersarapan, kami terpaksa menyeberangi jambatan, berjalan di atas tanah yang berliku-liku dan curam, melompat menyeberangi sungai cetek dan meredah pokok-pokok renek yang lebat sebelum sampai ke destinasi kami. Sambil itu, saya dan Nefer-Teen berkesempatan mengambil gambar alam semulajadi yang serba hijau itu.

Pembimbing yang menyambut kedatangan kami adalah seorang pemuda berusia 20 tahun yang bernama Daniel. Dia memperkenalkan dirinya sebelum menyuruh kami memakai baju keselamatan dan mengajar kami bagaimana untuk mengendalikan dayung dan rakit, bagaimana mengubah hala dan sebagainya.

Setelah dibahagi kepada beberapa kumpulan, kami pun memilih rakit untuk dinaiki. Kumpulan saya yang terdiri daripada empat orang memilih rakit yang dianggap paling besar. Sebelum bermula, Daniel mengingatkan kami supaya jangan sekali-kali terpisah dengan menanggalkan baju keselamatan walaupun berasa panas. Kami mengangguk tanda faham dan bermulalah ekspedisi kami.

Pada permulaannya, perjalanan kami lancar dan terkawal. Kami meredah air yang agak deras mengalir dan mengelak daripada terlanggar batu-batu besar. Kami tidak berani melarikan pandangan kerana bimbang akan terpisah dengan kumpulan-kumpulan rakit yang lain. Memandangkan segalanya berjalan lancar, ketegangan kami surut dan kami bersorak sambil mengayuh rakit kami dengan gembiranya.

Akibat terlalu leka bermain, kami tidak sedar akan batu yang besar di hadapan kami. Apabila Damon menjerit memberi amaran, barulah kami tergesa-gesa mengayuh mengubah haluan. Kami bernasib baik kerana cuma bahagian belakang sahaja yang terlanggar batu tersebut. Kami mengeluh tanda lega.

“Eh, mana kumpulan-kumpulan rakit yang lain? Mana Cikgu Sidek dengan Daniel?”

Barulah kami sedar bahawa kami telah terpisah daripada mereka disebabkan penukaran haluan tadi. Kawasan yang kami berada pada masa itu tidak setenang air sungai yang kami redahi sebelum itu. Ia lebih deras dan lebih mengancam keselamatan kami. Batu-batan yang ada di setiap sudut adalah lebih banyak daripada tadi. Bermati-matian kami mendayung dan menukar haluan untuk mengelakkan batu-batan tersebut. Rakit kami dilanggar berkali-kali. Vicky yang bertubuh kecil itu hampir hilang keseimbangan badannya dan Damon terpaksa memautnya supaya dia tidak terjatuh ke dalam aliran sungai yang deras itu.

Kerana terlalu asyik ingin mengelak batu, sekali lagi kami tidak menyedari bahawa aliran sungai semakin deras. Ia membawa rakit kami dengan laju sekali ke hadapan dan apabila kami tersedar, kami sudah terlambat. Rakit kami telah menghampiri penghujung sungai yang menjunam ke bawah sebagai air terjun. Saya cuba menangkap sebatang dahan pokok yang berhampiran dan pada masa yang sama, menyelamatkan rakan-rakan saya yang lain tetapi saya tidak sempat berbuat demikian. Kami menjunam ke bawah mengikut arus…

Beberapa ketika kemudian, kami tersedar. Cikgu Sidek, Daniel serta ahli-ahli yang lain berkerumun mengelilingi kami. Daniel memberitahu bahawa kami termasuk ke kawasan berakit yang khas untuk orang yang sudah arif dan mahir dalam berakit.

“Pendek kata, kamu semua sudah termasuk kawasan profesional!” Cikgu Sidek mengusik sambil memberi kami secawan Milo setiap orang.

Kami terpinga-pinga menyambut cawan tersebut. Kami sungguh terkejut setelah mendengar penjelasan Daniel tetapi kami bersyukur kepada Tuhan kerana memanjangkan umur kami.

Itulah pengalaman yang saya tidak dapat lupakan sehingga ke hari ini.

Bercuti Di Kampung Rakanku (A Malay Story)


Jam berdenting menunjukkan pukul 6 petang. Saya dan rakan saya, Ben, sedang menunggu ketibaan keretapi untuk pergi ke Kampung Banting. Sebenarnya, saya dengan Ben berhasrat untuk pulang ke kampungnya di Kampung Banting pada cuti semester ini. Maklumlah, musim buah-buahan telah tiba.

Setiba sahaja keretapi itu, kami pun membuka langkah untuk menaikinya. Ternyata ada ramai orang yang menaiki keretapi pergi ke Kampung Banting. Saya dan Ben menyimpan bagasi kami dan duduk dengan hati yang tidak sabar untuk sampai ke destinasinya.

Setelah duduk selama 4 jam, akhirnya sampai juga ke tempat yang kami nanti-nantikan: Kampung Banting! Kami mencapai bagasi kami dan berlari-lari anak menuju ke pintu keluar stesen keretapi itu. Ternampak ibu bapanya dan adik-beradiknya sedang menunggu ketibaan kami. Ben memeluk erat ibunya seperti orang yang telah lama tidak pernah jumpa. Saya hanya berjabat tangan dengan bapanya dan adik-beradiknya.

Inilah pertama kali saya melihat suasana sebuah kampung: keadaan yang harmoni dan makmur, tiada pencemaran, jiran tetangga yang ramah mesra…Ahh…alangkah baiknya kalau saya juga berasal dari kampong yang begitu indah ini.

Walaupun saya orang banda, tidak terlupanya saya tentang adat-adat orang kampung. Saya sentiasa ingat untuk menanggalkan kasut sebelum masuk rumah. Kami mandi bersama-sama dengan menggunakan air dari telaga. Wah! Alangkah dinginnya air itu! Tetapi Ben nampak macam tidak ada apa-apa pula? Mungkin sudah biasa.

Keesokan harinya, Ben mengejutkan saya dan mengatakan bahawa buah durian di dusun datuknya mula gugur. Dengan pantasnya saya menyalin baju dan mengikut Ben ke dusun tersebut. Datuknya tersenyum dan memberi salam kepada saya. Dia juga memberi kami topi keledar untuk melindungi kepala kami daripada dihempap durian. Dengan perasaan yang riang, kami pun mengutip buah durian yang telah banyak gugur di tanah.

Setiba sahaja kami di pondok datuknya dengan bakul dipenuhi durian, datuk Ben menyambut kedatangan kami dengan hidangan beraneka jenis buah-buahan tempatan. Sepanjang pagi itu, kami menjamu selera dengan buah-buahan yang ada di situ sambil berbual-bual. Alangkah seronok kalau terus begini…

Tetapi, masa berlalu dengan cepat. Sekelip mat sahaja, sudah sampai masanya kami tinggalkan Kampung Banting. Kami bersalam-salaman sambil mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa Ben. Kami juga membawa pulang beberapa biji durian sebagai ‘cenderahati’.

Saya tidak akan lupa pengalaman saya di kampung Ben buat selama-lamanya.

Pameran Malaysia (A Malay Story)


Saya bersama rakan-rakan saya Anna, Dicky dan Julian sedang memikirkan tema yang sesuai untuk dibentangkan sempena Minggu Bahasa Melayu yang akan diadakan dua minggu selepas cuti penggal pertama. Setelah lama memerah otak mencari ilham, Anna tiba-tiba berkata, “Ya! Saya tahu apa tema yang kita boleh buat!”

Kami semua mengalihan pandangan ke arahnya dengan perasaan tertanya-tanya. Dia dengan panjang lebar mengatakan bahawa bapanya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu mesyuarat perniagaan selama lima hari dan mengatakan lagi bahwa sekiranya bernasib baik, bapanya mungkin akan membenarkan kami mengikutinya bersama-sama ke Kuala Lumpur.

“Tapi apa yang kita boleh buat di sana?” Dicky bertanya, nadanya menunjukkan dia masih sangsi dan keliru dengan penjelasan Anna.

“Eh, kamu semua tidak tahukan bahawa Muzium Negara Kuala Lumpur akan mengadakan satu pameran barangan buatan Malaysia? Kita bolehlah menulis tentang pameran itu dan membentangkan kebaikan membelie barangan buatan Malaysia!”

Kami semua mengangguk tanda setuju. Selepas sekolah, kami berempat singgah ke rumah Anna untuk meminta kebenaran daripada bapa Anna untuk pergi ke Kuala Lumpur bersamanya. Nasib menyebelahi kami. Bapa Anna menyetujui keinginan kami disebabkan kata-kata Anna dan Julian, yang merupakan orang yang tertua di kalangan kami, yang manis dan indah. Sehari sebelum cuti penggal pertama, kami semua telah selesai mengemaskan bagasi kami dan bersiap sedia untuk bertolak keesokan harinya.

Setibanya kami di Kuala Lumpur, kami dipesan oleh bapa Anna supaya singgah dahulu di hotel dan mengemas bagasi sebelum melakukan apa-apa aktiviti lain. Kami berpisah dengan bapa Anna di Lapangan Terbang Kuala Lumpur di mana bapa Anna menaiki kereta wakil syarikat pelanggannya manakala lami menaiki teksi ke hotel yang dikatakan bapanya sebelum itu. Sepanjang perjalanan kami ke hotel itu, kami mengamati pemandangan Kuala Lumpur yang serba moden dan serba canggih itu dengan perasaan kagum.

“Wah, cantiknya bangunan-bangunan ini!” kata Julian dengan nada yang girang. “Mengalahkan negeri sendiri!”

“Jangan memandang rendah pada negeri sendiri,” kata saya, “Suatu hari nanti, negeri kita pasti akan menjadi sehebat ini.”

“Bilakah pameran barangan buatan Malaysia itu diadakan?” Dicky bertanya Anna tanpa mengalihkan pandangannya dari tingkap teksi itu.

“Kata iklan dalam kaca televisyen, pameran itu akan diadakan esok pada pukul lapan pagi,” Anna menjawab dengan ringkas. “Berdebar-debar pula jantung saya ni. Harap-harap masa cepat berlalu, kemudian bolehlah kita menyiapkan pembentangan kita secepat mungkin.”

Keesokan harinya, selepas makan sarapan pagi, kami bergegas keluar hotel itu supaya dapat menaiki teksi terawal. Tidak terllintas dalam fikiran kami untuk melengah-lengahkan masa. Kami melengkapkan diri kita dengan dua buah kamera, sepuluh kotak berisi filem kamera dan beberapa buah buku nota kecil. Sesampainya kami di Muzium Negara Kuala Lumpur, alangkah terkejutnya kami apabila melihat bilangan orang yang berduyun-duyun memasuki bangunan muzium itu. Memang tidak terkira bilangannya. Kebanyakan daripada orang yang berkunjung di situ adalah pelancong asing.

Suasana dalam muzium itu hingar-bingar dengan suara orang bercakap-cakap dan memuji-muji barangan yang dipamerkan di situ. Keadaan di sekeliling menjadi gilang-gemilang dari semasa ke semasa disebabkan kelipan yang datang dari kamera pelancong-pelancong asing di situ. Kami juga tidak terkecuali. Terdapat pelbagai barangan buatan Malaysia yang dipamerkan di situ; antaranya adalah kasut, pakaian, barangan perkakas, perabot dan kereta-kereta yang tidak asing lagi bagi kami: Proton Saga, Proton Wira dan juga yang terbaru Proton Juara.

Kami juga banyak mencatat nota-nota kecil tentang apa yang dipamerkan di situ serta selok-belok tentang tokoh yang mencipta dan mereka barangan tersebut. Sepanjang pemerhatian saya, saya mendapati bahawa hasil karya tempatan tidak kurang mutunya daripada hasil karya yang diimport dari negara lain. Setiap barangan tersebut tidak mempunyai sebarang cacat celanya, berbeza dengan barangan luar negara yang mungkin terdapat kerosakan kecil di mana-mana bahagian. Saya juga mendapati bahawa semua barangan tersebut dibuat dengan asli dan tidak ditiru dari mana-mana barangan buatan negara lain.

Setelah penat berjalan, kami beredar ke pusat istirahat yang terletak di tingkat kedua bangunan muzium itu. Di situ, tidak kurang juga orang yang duduk bersantai di atas sofa empuk dan menikmati juadah tengah hari mereka. Kami turut memesan makanan dan sambil menikmati makanan kami, kami melihat keadaan sekeliling yang penuh dengan gelagat orang yang pelbagai ragam. Ada yang menukar filemm kameranya, ada yang cuba menghalang anak-anak kecil mereka daripada berkeliaran ke sana sini, ada yang bercakap menggunakan telefon bimbit atau berbual kosong sesame sendiri, kebanyakan remaja dan ada yang mengamati cenderamata yang dibelinya.

Selepas makan tengah hari, kami bergegas semula ke tempat-tempat lain yang belum kami lihat di pameran tersebut. Seorang kakitangan muzium mengedarkan risalah tentang kebaikan membeli barangan buatan Malaysia. Saya cepat-cepat mengambil sekeping kerana risalah itu boleh dijadikan bahan pembentangan kami. Dicky memanggil saya dan menundingkan jarinya kea rah beberapa orang remaja. Saya memandang kea rah itu dan ternampak mereka sengaja menjatuhkan risalah itu ke lantai dan ada pula yang membuangnya ke dalam tong sampah tanpa membeleknya sekali pun.

“Nama sahaja anak Malaysia, tapi langsung tidak menghargai warisan Malaysia! Tidakkah begitu, Georgia?” Dicky menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan cara perlahan kepada saya.

Saya mengangguk tanda setuju. Bukan itu sahaja, perbuatan mereka tadi juga menunjukkan mereka tidak menghargai alam sekitar. Sikap mereka itulah yang menyebabkan hutan semakin lama semakin menipis. Tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan perbuatan mereka tadi adalah hak mereka yang tidak menyalahi undang-undang.

Pada pukul empat petang, pameran itu diisytiharkan tutup. Orang ramai yang ada dalam bangunan tersebut berpusu-pusu keluar secara perlahan-lahan, seolah-olah belum puas lagi melihat dan mengamati barangan buatan Malaysia yang unik itu. Kami balik ke hotel semula dengan menaiki teksi. Walaupun kami penat, tetapi kami berpuas hati dengan maklumat-maklumat dan gambar-gambar yang diperolehi dari pameran itu. Dan saya tahu, sungguhpun sekiranya semua ini mencukupi, kami telah memperolehi satu iktibar yang sudah cukup bermakna bagi kami; negara Malaysia adalah standing dengan negara-negara lain.

I Talked to God. I Never Want to Speak to Him Again

     About a year ago, I tried to kill myself six times. I lost my girlfriend, Jules, in a car accident my senior year of high school. I was...