Cerita ni saya dengar dari emak saya sendiri. Emak saya mempunyai tiga orang adik beradik, yang sulung Pakcik saya, kedua Makcik dan yang bongsu ialah emak saya. Kejadian berlaku lebih kurang berpuluh tahun yang lalu, ketika itu mereka masih kecil lagi. Jadi seperti kebiasaan, tiga orang beradik ini akan bermaghrib di surau yang jauhnya hanya beberapa buah rumah sahaja dari rumah meraka. Selepas solat maghrib mereka akan mengaji beramai-ramai di surau itu bersama kanak-kanak remaja yang lain. Selepas mengaji kesemuanya akan berjalan kaki untuk pulang ke rumah, yang mana rumah agak jauh sedikit akan pergi dan pulang menaiki basikal. Sewaktu ingin pulang, makcik dan emak saya ingin bermain menakut-nakutkan abang sulung mereka iaitu pakcik saya.
Jadi dua orang beradik ini mengambil keputusan untuk berjalan dahulu meninggalkan abang mereka dan menyorok di balik pondok yang terletak di hadapan surau, dengan niat untuk menyergah pakcik saya ketika dia melalui jalan itu. Sewaktu sedang menunggu ketibaan abang sulung mereka itu, mereka berdua terlihat satu lembaga bertutup kain putih dari atas kepala sehingga ke bawah. Lembaga itu berdiri di bawah pokok tidak jauh di hadapan emak dan makcik saya. Emak saya fikir mungkin itu ialah pakcik saya yang ingin menakut-nakutkan mereka juga, tetapi bila dipanggil, 'pakcik' saya itu tidak menyahut.
Ketika itu semua orang di surau sudah pulang. Lembaga berkain putih itu masih berdiri tercegat di bawah pokok seperti memandang emak dan makcik saya. Tiba-tiba mereka berdua terdengar suara pakcik saya memanggil-manggil dari jauh di hadapan. Rupa-rupanya pakcik saya sudah berjalan pulang dahulu lebih awal dari mereka berdua.
Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/
Comments