Blogger Template by Blogcrowds.


Dalam keheningan mentari senja kelihatan seorang lelaki sedang menolak motosikalnya di sebatang jalan. Dari segi gaya dan pakaian nampaknya lelaki itu seperti sedang pulang kerja. Nasibnya tidak baik kerana motosikal yang baru dibelinya beberapa minggu lepas tiba-tiba rosak. Zubir, bekerja sebagai penghantar surat atau bahasa mudahnya mat despatch. Dalam keadaan muka yang agak sedikit marah ditambah pula dengan kepenatan, Zubir menolak motosikalnya untuk pulang ke rumah yang terletak lagi kira-kira 5 kilometer. Dalam hatinya dia mahu singgah dahulu ke bengkel motor Ah Seong.

"Sial punya motor, selalu buat hal! Aku baru beli kau tak sampai sebulan pun" Zubir menyumpah seranah sambil menolak motosikal barunya itu.

Sebenarnya motosikal yang baru dibeli Zubir itu bukanlah motosikal baru sebaliknya motosikal 'second hand' yang dibeli dari seorang lelaki di kawasan tempat tinggalnya. Oleh kerana ingin berjimat Zubir terpaksa membuat keputusan untuk hanya memiliki sebuah motosikal terpakai. Dalam kehidupan ekonomi yang semakin meruncing ini Zubir harus membuat keputusan-keputusan yang bijak bagi mengelakkan pengaliran wang keluar yang tidak terkawal. Rumahnya juga dia sewa beramai-ramai bagi menjimatkan kos. 8 orang semuanya rakan sewa rumah Zubir. Walaupun adakalanya tidak selesa serumah beramai-ramai tetapi Zubir tiada pilihan lain.

Setelah membayar kepada Ah Seong caj membaiki motornya, Zubir terus berlalu pergi untuk pulang ke rumah. Dalam hatinya masih mengomel lagi perihal motornya yang kerap sangat rosak. 5 hari lepas sewaktu sedang bekerja, tiba-tiba motornya pancit selepas melalui satu selekoh. Lalu menolaklah si Zubir ke bengkel motor berhampiran, akibatnya dia dimarahi pelanggan kerana dokumen pentingnya lambat sampai. 2 hari lepas pula, motosikalnya itu mati secara tiba-tiba ketika dia sedang dalam perjalanan pergi kerja. Tersadailah dia dan motosikal kesayangannya itu di tepi lebuhraya, sementara menunggu bantuan rakan sekerjanya datang.

Dia ada juga memikirkan sama ada ini ujian atau Tuhan nak menunjukkan rezekinya itu tidak berkat. Tapi Zubir tahu dan rakan-rakannya dia sendiri tahu yang Zubir ni bukanlah kaki berhibur dan selalu membuat perkara yang tidak elok. Kewajipan 5 waktu penting itu juga dia jaga dengan elok. Paling-paling jahat pun dia dan rakan-rakan serumah kadang-kadang suka bermain snuker di pekan. Tapi snuker itu hanyalah sebuah sukan dan permainan, di luar negara juga snuker juga di jadikan antara salah satu acara di kejohanan rasmi sukan. Zubir selalu tertanya-tanya mengapa masyarakat selalu pandang negatif pada permainan snuker. Yang tidak elok itu baginya jika sukan dicampur adukkan dengan judi. Zubir hanya positif, dia anggap ini hanyalah satu ujian buatnya.

................................................

"Itulah kau Zubir. Aku dah pesan haritu beli motor baru terus. Kau nak jugak beli motor 'second' ni" Kata Yahya, rakan serumahnya tetapi lebih mesra dengan panggilan Pok Ya.

"Kau ingat aku ada banyak duit ke? Duit gaji sebulan pun cukup-cukup hanya untuk makan minum aku je. Lain la kau Pok Ya, kerja selesa, gaji selesa" Kata Zubir sambil merenung ke arah motosikalnya yang di parkir di depan rumahnya itu.

"Zubir, kau yakin ke motor yang kau beli ni tak ada 'apa-apa'?" Yahya berkata lagi

"Maksud kau? Kau ni jangan fikir bukan-bukan sangatlah. Itu lah kau, selalu sangat tengok dvd cerita hantu. Motor ni okay, tak ada apa-apa. Cuma iyalah dah nama pun motor terpakai kan. Kena terima je lah" jelas Zubir

"Tapi dalam seminggu tu kerap sangat buat hal, kau tahan ke?" Yahya menyambung

Zubir hanya terdiam. Betul juga apa yang Yahya cakap tu, katanya dalam hati. Mana mungkin dia tahan kalau sudah dalam seminggu tu kerap sangat motosikalnya buat hal. Makan minum entah ke mana, wangnya pula sudah habis banyak disalurkan ke motornya itu. Dia mula terfikirkan kepada lelaki yang menjual motosikal itu pada awal bulan lepas.

Dia mengetahui lelaki si penjual itu daripada jirannya. Ketika itu Zubir sangat memerlukan motosikal baharu kerana motosikal lamanya sudah terlalu uzur untuk digunakan. Tambahan pula kerjanya memerlukan dia bergerak ke sana-sini dengan menggunakan kenderaan dua roda itu. Zubir tidak berfikir panjang lagi apabila lelaki itu mahu menjualnya dengan harga yang agak murah.

Namun, ada satu peristiwa menakutkan pada suatu malam itu yang membuatkan Zubir terfikir semula apa yang rakan serumahnya cakap. Ketika itu Zubir dalam perjalanan pulang ke rumah. Malam itu malam Sabtu, jadi dia membuat keputusan untuk pulang lewat sedikit dengan mengajak rakan-rakan sekerjanya menonton wayang. Sewaktu sedang menunggang pulang, Zubir perasan motornya terasa agak berat sedikit. Fikirnya tayar motosikal itu kempis, tapi setelah di teliti kedua-dua tayar dalam keadaan baik. Tanpa berfikir panjang, Zubir pun meneruskan perjalanannya.

Ketika itu jalan raya sudah lengang kerana sudah lewat pagi. Sedang asyik menunggang, Zubir tergerak untuk melihat ke cermin sisi motosikalnya. Tiada apa-apa yang kelihatan di belakangnya. Hanya jalan raya yang gelap. Tetapi hati Zubir kuat mengatakan seperti ada sesuatu di belakangnya, lalu dilihatnya lagi cermin sisi motornya. Nah. Tunggangannya hampir hilang kawalan apabila terlihat suatu sosok yang menakutkan muncul di cermin sisi itu.

Ada satu wajah budak lelaki kelihatan dalam samar-samar. Wajahnya sangat pucat sambil matanya tajam memandang Zubir. Budak lelaki itu seperti sedang membonceng bersama-sama Zubir. Dia tidak berfikir panjang, terus dipecutkan motosikalnya pulang ke rumah tanpa melihat kebelakang lagi, oleh kerana takut yang amat sangat dia menterbalikkan cermin sisi motosikalnya itu ke hadapan. Seumur hidup Zubir dia tidak pernah melihat hantu, tapi malam itu dia diberi peluang melihat.

................................................................

"Zubir, kan aku dah cakap hari tu tapi kau tak percaya" Kata Yahya sambil memberikan panadol Actifast kepada Zubir

"Memang gila betul, kau bayangkan aku hampir masuk longkang tadi tau!" Kata Zubir menelan panadol yang Yahya beri

"Kau pergi la tanya lelaki yang jual motor tu. Aku rasa motor kau selalu rosak sebab 'benda' ni lah" Yahya cuba menyakinkan Zubir

"Ish kau ni melalut tak habis. Hmm, tapi betullah, aku pun rasa macam tu. Dulu mesti pernah jadi apa-apa dekat motor ni sampai 'benda' tu nak tumpang aku balik rumah" kata Zubir sambil memicit-micit kepalanya yang sakit. Malam itu dia terus demam.

Keesokan harinya Zubir mengambil cuti sakit satu hari. Dikesempatan itu dia mahu pergi berjumpa dengan lelaki yang menjual motor kepadanya itu. Dia mahu menanyakan kepadanya 'masalah' yang selalu menimpa motosikalnya hampir saban hari. Selepas pulang dari klinik untuk mengambil surat cuti sakit, Zubir terus menuju ke rumah lelaki itu. Lelaki yang hanya dikenali dengan nama Man itu tinggal di pinggir kampung jauh sedikit daripada kawasan rumah Zubir.

Sesampainya dia di situ, kelihatan lelaki itu sedang berbual-bual bersama seorang lagi lelaki di tembok hadapan rumah. Mungkin rakannya, fikir Zubir. Salam diberi, dan tanpa melengahkan masa dan berkias-kias lagi, Zubir terus menanyakan perihal masalah motornya itu kepada lelaki itu. Lelaki itu berasa hairan akan pertanyaan Zubir. Dia cukup puas menyakinkan Zubir bahawa motosikal itu tidak mempunyai apa-apa masalah teknikal yang serius hatta masalah mistik sekalipun.

Lelaki itu sudah mula pelik apabila Zubir membuka pula cerita hantu yang menumpangnya malam kelmarin. Zubir dianggap mengarut oleh dua orang lelaki itu dan sengaja mereka-reka cerita bagi menguatkan alasan motosikalnya yang selalu rosak. Zubir kecewa kerana dia tidak mempunyai jawapan yang kukuh atas soalan-soalannya itu. Lelaki itu menasihati Zubir agar selalu menjaga motosikalnya supaya dalam keadaan baik dan selamat sebelum ditunggang.

Zubir bengang lantas menghidupkan enjin motornya untuk pergi dari situ. Sebelum pergi, lelaki itu sempat menasihati Zubir supaya membaca doa sebelum menunggang pada waktu malam. Zubir mencebik. Dia tahu mereka sedang menyindirnya. Deruman enjin dan kepulan asap motor ditinggalkan Zubir untuk dua orang lelaki itu. Zubir berlalu pergi.

"Man, kesian la aku tengok budak tu. Kau lagi main-mainkan dia. Cerita sahajalah hal yang sebenar pasal motor tu" kata rakan kepada lelaki penjual motor itu

"Ish, tak boleh. Macam mana kalau budak tu tahu hal yang sebenar lepas tu dia tuntut balik duit jualan motor tu? Rugi lah aku. Biarlah dia. Lama-lama biasa lah tu" Kata Man menyembunyikan sesuatu. Rakannya itu hanya menggelengkan kepala melihat Man menjawab begitu.

Mereka berdua terus berbual membincangkan tentang hal itu.

.......................................

Hari itu Zubir pulang agak lewat dari tempat kerjanya. Kelewatan pulang adalah satu perkara yang amat-amat Zubir takuti. Motosikalnya ditunggang laju membelah angin malam. Satu demi satu jalan raya diselusuri dengan yakin walaupun hatinya ketika itu resah. Degupan semakin kencang apabila dia teringat bahawa malam itu adalah malam Jumaat.

Dia kini sedang melalui sebatang jalan yang sunyi, jalan di mana 'benda' itu menumpangnya tempohari. Hanya itu sahaja laluan utama untuk pulang ke rumahnya. Tiba-tiba dalam kesamaran malam dia terlihat ada satu bayang-bayang hitam di hadapannya sedang berdiri di tepi jalan. Fizikalnya seperti budak lelaki dalam lingkungan umur belasan tahun.

Zubir tetap meneruskan tunggangannya, walaupun dalam hatinya sudah mula berfikir yang bukan-bukan. Lembaga itu tetap berdiri di tepi jalan tidak berganjak walau seinci. Jarak lembaga itu semakin lama semakin hampir dengan Zubir yang sudah berpeluh ketakutan. Wajah budak lelaki itu semakin jelas disuluh cahaya lampu motor Zubir, dan mereka pun bertembung bersebelahan. Zubir sempat mengerlingkan matanya ke kiri untuk melihat wajah budak lelaki itu. Zubir melepaskan nafas lega kerana apa yang dilihatnya itu ialah memang seorang budak lelaki biasa. Sempat juga budak lelaki itu senyum padanya. Tiada keraguan lagi dihatinya kini.

Malam kian sunyi, bunyi cengkerik saling bersahutan. Sedang Zubir meneruskan perjalanan, tidak semena-mena dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang memeluknya dari belakang. Zubir gusar dan berasa tidak sedap hati. Dia tidak pasti sama ada dia sedang berkhayal akibat keletihan ataupun apa yang sedang terjadi ini adalah realiti. Tapi Zubir tahu apa yang terjadi sekarang adalah realiti kerana Zubir dapat merasakan memang benar ada benda seperti tangan yang sedang memeluknya ketika ini. Jantung Zubir berdegup laju, dia langsung tidak memandang ke cermin sisinya. Namun, muncul suatu suara.

"Abang.. saya dekat bawah ni la.. Pandang la bawah sini..hihihi..."

Zubir menggigil mendengar suara halus itu. Dengan pasrah dia perlahan-lahan memandang ke bawah. Zubir mengucap panjang. Ada satu kepala manusia berada di dalam bakul motornya! Kepala itu milik budak lelaki yang dia berselisih sebentar tadi, manakala badan budak lelaki itu sedang duduk dibelakang Zubir sambil memeluknya erat! Kepala yang berwajah pucat dan berlumuran darah itu sedang tersenyum memandang Zubir sambil ketawa.

"Abang janganlah takut, saya cuma nak tumpang je. Sejak mati 'accident' bulan lepas saya rindu nak naik motor ni lagi..hihihihi...."

Zubir melolong ketakutan. Malam itu dia pulang dengan membonceng sekujur badan tanpa kepala. Sepanjang perjalanan dia ditemani gelak tawa makhluk menyeramkan tersebut.

**********************************************************

"Ish, tak boleh. Macam mana kalau budak tu tahu hal yang sebenar, lepas tu dia tuntut balik duit jualan motor tu? Rugi lah aku. Biarlah dia. Lama-lama biasa lah tu" Kata Man menyembunyikan sesuatu. Rakannya itu hanya menggelengkan kepala melihat Man menjawab begitu.

"Kau ni gila lah Man. Kau pun tahu kan sejak Adik kau meninggal dunia akibat 'accident' naik motor tu, dah macam-macam kan benda-benda pelik jadi?"

"Ah biarlah! Biar 'dia' kacau orang lain, jangan kacau aku dengan keluarga aku! aku dah tak tahan" Kata Man menghabiskan penjelasannya.

Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home